Pages

Thursday, February 6, 2014

Apabila budak malas mahu guru memeriksa buku latihannya.

Agak pelik dengan pelajar seorang ini. Saya namakan dia Manja. Dia ini memang ada masalah dengan seorang guru. Menurut guru itu , dia sudah cuba pelbagai cara (kecuali teknik nabi) untuk mendorong pelajar ini belajar tetapi tidak berjaya. Beliau sudah cuba marah tetapi tak berkesan. Beliau cuba pujuk juga tidak berkesan.

Manja tidak terdorong untuk berubah.Dia malas membuat latihan. Kadang kala dia tidur dalam kelas. Ada masa pula dia ponteng kelas. Ada ketika dia masuk kelas agak lewat.

Disebabkan sikap Manja ini, gurunya itu juga hampir putus asa. Melihat Manja sahaja,akan timbul rasa marah. Jadi bagi mengelakkan dirinya memarahi Manja dan menyebabkan satu kelas etrpaksa mendengar leterannya, maka Manja tidak dipedulikan. Dia dibiarkan buat sesuka hati.

Saya hanya mendorong Manja dengan teknik Nabi. Tiada teknik lain. Dengan saya , dia tidak bermasalah.

Hari ini, ada latihan membina ayat.

Dia bertanya kepada saya secara berdepan (seorang demi seorang cara untuk membuat latihan), maka saya terangkan satu persatu.

Beberapa ketika kemudian, saya pantau latihan yang dibuat Manja.
Puji saya, "Bagus! Saya suka. Kamu dapat membina ayat yang gramatis. Saya pasti kamu dapat membina ayat-ayat yang lain." (puji mengikut teknik Nabi Muhammad)

Selepas itu, saya memantau pelajar-pelajar yang lain. Memang ramailah yang mendapat pujian. Namun, bagi yang melakukan kesalahan, saya betulkan kesalahan- sama ada kesalahan ejaan, tanda baca atau pun pembinaan ayat. Saya menggunakan  teknik menerangkan kesalahan (tidak mengkritik atau memerli).

Sewaktu menghantar buku latihan, Manja serahkan buku kepada saya dan ketika saya mahu meletakkan buku latihannya bersama buku-buku pelajar yang lain, dia berkata, " Cikgu, tengok dulu ayat yang saya buat. Betul tak?"

Mendengar permintaannya itu, saya pun memeriksa ayat-ayat yang dibinanya. Rupanya ada satu ayat yang mempunyai kesalahan ejaan dan tanda baca. Saya terus terangkan kesalahan.
Kata saya, " Apabila menulis kata nama khas , perlulah huruf pertamanya ditulis dengan huruf besar. Selepas habis satu ayat, maka ditulis tanda noktah."

Selepas itu, Manja membetulkan kesilapannya.

Tips saya: Bersangka baik kepada pelajar dan tangani cabaran rasa marah dengan cuba melihat pelajar dari sudut yang positif. Mereka ini juga diduga oleh rasa malas dan bosan ketika belajar. Percaya dan yakin, mereka boleh berubah dan mampu berubah. Ikut sahaja cara Nabi Muhammad. Insya-Allah, berhasil.
_____
Allahumma solli ala saidina Muhammad! Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!

1 comment:

  1. ya. itu la yang sebaik-baiknya. Selagi kita boleh bantu. Kita bantu.

    ReplyDelete