Pages

Friday, October 11, 2013

Apabila budak corot diminta tulis kelebihan

Perkara yang membuat pelajar suka kepada guru adalah apabila guru memberikan pujian dan pada masa yang sama tidak mengkritik kesalahan.

Minggu lepas, saya menggantikan seorang guru tang tidak hadir ke sekolah atas urusan perkhidmatan. Pada masa saya masuk ke dalam kelas, saya dapati tiada seorang pun pelajar berada dalam kelas. Rupa-rupanya mereka dari makmal.

Pelajar-pelajar kelas corot ini amat lambat masuk ke dalam kelas. Biarpun lambat , akhirnya masuk juga.

Saya tidak marah dan tidak kritik kesalahan. Saya hanya terangkan peraturan. Saya maklumkan tentang peraturan masuk ke dalam kelas.

Disebabkan saya mendapat kelas ganti itu pada saat akhir, saya tidak dapat membuat persediaan pelajaran. Sebaliknya , saya gantikan dengan satu aktiviti.

Semua pelajar diberikan kertas pelekat (sticky note). Kemudian, saya minta mereka menulis kelebihan diri mereka.

Pada awalnya respon mereka agak negatif. Kata salah seroang daripada mereka, "Cikgu, saya mana ada kelebihan."
Balas yang lain, "Kami 'lari dari cikgu' (ponteng) pandailah"
Kutuk pelajar yang lain, "Dia 'merempit' tahulah, cikgu."
Yang lain menjadi tukang gelak.

Saya tersenyum. Kemudian saya balas, "Saya pasti setiap daripada kamu merupakan insan unik dan istimewa. Tuliskan kelebihan kamu di atas kertas itu."

Tanya seroang pelajar, "Cikgu, kalau pandai buat benda jahat, boleh cikgu?"
Jawab saya, " Contohnya?
Balas pelajar tadi, " Menipu cikgu."

Saya menggunakan teknik menerangkan kesalahan. Kata saya, "Benar, menipu itu perbuatan yang tidak baik dan berdosa."

Kemudian saya berikan solusi. Kata saya, " Tukarkan kelebihan itu kepada sesuatu perbuatan yang positif, misalnya kelebihan berlakon."

Sebenarnya, saya mahu menaikkan self-esteem mereka dengan cara mendorong mereka mencari dan menyatakan kelebihan masing-masing.

Mereka memberikan respon yang amat baik dan masing-masing menunjukkan kertas pelekat kepada saya dan bertanya sama ada kelebihan yang mereka tulis itu betul atau tidak.

Dalam aktiviti kedua, saya minta pula mereka nyatakan manfaatnya mempunyai kelebihan itu untuk orang lain. Dalam erti kata lain, mereka perlu menggunakan kelebihan untuk manfaat orang lain. Alhamdulillah! Majoriti daripada mereka tahu akan jawapannya.

Misalnya, ada seorang pelajar menulis bahawa dia pandai menunggang motorsikal. Manfaatnya- dia boleh membawa kawan jalan-jalan.

Disebabkan masa singkat, saya tidak dapat membuat eksimpulan bagi aktiviti-aktiviti tersebut. Sekadar memberi pujian, "Bagus, kamu sudah dapat menyatakan kelebihan kamu. Kamu juga tahu cara menggunakan kelebihan kamu untuk manfaat orang lain.  Insya-Allah, pada lain masa, saya akan terangkan lagi."

...dan

ketika bertembung dengan dua orang pelajar dari kelas tersebut di luar kelas (pada amsa yang lain), salah seorang daripada mereka bertanya, "Cikgu, bila cikgu mahu masuk kelas kami. Saya mahu tahu komen cikgu tentang apa yang saya tulis hari itu?"

saya tersengih. Insya- Allah, andai berpeluang untuk bertemu lagi.

...dan

ketika saya bertanya, pada tahun hadapan, siapa yang mereka mahu pilih menjadi guru BM mereka, jawapan mereka, "Cikgulah!"...

Saya minta mereka berikan nama guru lain dan mereka cadangkan seorang guru muda perempuan. Hehehe!



______________

Allahumma solli ala saidina Muhammad! Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!

1 comment:

  1. Saya bukan seorang guru. tapi serius saya sgt tertarik dgn aktiviti ini. membantu pelajar mengenal keistimewaan diri mereka.

    ReplyDelete