Pages

Sunday, March 3, 2013

Apabila pelajar India memberi tunjuk ajar mata pelajaran Bahasa Melayu kepada pelajar-pelajar Melayu

“Koogulan, kamu sudah siap latihan?” . Pertanyaan itu saya ajukan kepada pelajar India itu setelah saya lihat dirinya duduk-duduk saja sambil memandang saya.

“Sudah, cikgu!” balas Koogulan sambil mengangguk-angguk kepala.

Balas saya, “ Ok. Kalau begitu, kamu jadi Penolong Guru. Anak didik kamu ialah Nazril. Tolong ajar dia mana-mana latihan yang dia tidak tahu. “
“Saya, cikgu? “ tanya Koogulan ,seolah-olah tidak percaya.
“ Ya. Kamu.” Jawapan saya ringkas.
Kepada Nazril yang duduk di barisan kedua belakang, “Nazril,mari duduk di sebelah Koogulan. Dia akan bantu kamu membuat latihan.”
Nazril nampak terkejut namun tidak membantah. Dia bangun dan melangkah ke hadapan.

Kepada Partiban yang duduk di sebelah Koogulan, saya bertanya pula, “ Kamu sudah selesai?”
Balas Partiban, “Siap , cikgu!”

Mendengar jawapan Partiban, segera saya berkata, “Kamu juga menjadi penolong saya. Bantu pula Ajim untuk selesaikan latihan.”

Partiban mengangguk-angguk dan tersenyum lebar. Dia bangun dan memberikan ruang kepada Nazril untuk duduk di tempatnya.

Pada masa yang sama, saya memanggil Ajim. Kata saya, “ Ajim,kamu duduk di sebelah Partiban di sebelah sini (menunjukkan dua tempat kosong di barisan ketiga kerusi meja dalam kelas itu.) Dia akan beri tunjuk ajar kepada kamu.”

Ajim tersengih. Dia pun bangun daripada tempat duduknya dan bergerak ke hadapan serta duduk di sebelah Partiban. Ajim membawa buku latihan dan pen bersamanya.


Saya pandang Shan yang duduk di barisan hadapan sekali. Kata saya, “ Shan, kamu juga saya berikan anak murid. Kamu tolong ajar Zek.”

Shan tersengih. Kemudian dia menjawab, “Ok. Cikgu.”

Kepada Zek yang duduk di sebelah Ajim di barisan belakang sekali, saya berkata, “ Zek, mari ke hadapan. Shan akan bantu kamu selesaikan latihan kamu.”

Zek juga seperti Ajim, tersengih-sengih. Namun, dia akur dengan arahan saya.

Sebenarnya, isi pelajaran hari itu merupakan sambungan pelajaran yang lepas. Ketika itu, Nazril dan Zek digantung sekolah selama seminggu. Markah demerit mereka sudah mencecah 60 markah. Saya difahamkan bahawa mereka melakukan pelbagai kesalahan disiplin . Saya agak terkejut juga dengan perkembangan tersebut kerana di dalam kelas, Nazril atau pun Zek tidak pernah menimbulkan masalah kepada saya. Namun, perkara sudah etrjadi. Saya pula tidak menyiasat dan bertanya apa-apa kepada mereka.

Agak mencabar juga mengajar pada hari tiu. Ajim dan Rohaizad pula agak lambat dalam memahami pelajaran. Mun Foong dan Teck Ken pula tidak datang pada hari saya mengajar topik pelajaran tersebut. Memang agak susah untuk mereka mengikut pelajaran. Seandainya saya tumpu kepada mereka, maka pelajar-pelajar yang lain pula akan berasa bosan dan pastinya akan membuat bising.

Sebab itulah, saya lantik beberapa Penolong Guru untuk membantu saya. Melantik Penolong Guru memang dapat membantu dalam melancarkan P&P dalam kelas. Teknik melantik Penolong Guru ialah teknik yang dihasilkan oleh Tim Pengkaji Hadith Psikologi berdasarkan Hadith 'Pembela Nabi'


Dalam hadis ini,
Sahabat  Nabi Muhammad yang bernama Jabir bin Abdillah melaporkan  bahawa pada hari berlakunya Perang Khandaq, Nabi Muhammad telah  mengumumkan panggilan perang, lalu Zubair bin Awam menyahut panggilan  perang itu. Selepas itu, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan  perang, lalu sekali lagi Zubair bin Awam menyahut panggilan itu.  Kemudian, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan perang, lalu  sekali lagi Zubair bin Awam menyahut panggilan itu. Lalu Nabi Muhammad   berkata, “Sesungguhnya, tiap-tiap nabi mempunyai pembela, dan pembela  saya adalah Zubair.” - Hadith nombor 1643 dalam kitab Ringkasan Sohih Muslim


Selain  3 orang pelajar yang diberi tunjuk ajar oleh rakan-rakan mereka. Rohaizad diajar oleh Priya. Teck Ken diajar pula oleh Poh Ling manakala Pui Sin mengajar Mun Foong.

Lega hati saya  apabila tindakan saya itu dapat menyelesaikan masalah yang timbul. Pada akhir pelajaran, saya mengarahkan semua pelajar menghantar latihan.


Kepada penolong-penolong Guru yang saya lantik, saya bertanya, “ Anak murid kamu sudah siapkan latihan?”

Semua mengangguk-angguk kepala kecuali Partiban. Kata Partiban, “Cikgu, Ajim tidak siap kerja.”

Mendengar jawapan Partiban, saya memandang Ajim yang sudah kembali ke tempatnya dan berkata, “ Ajim, kamu belum hantar latihan.”

Ajim tersengih. Katanya, “ Lagi sedikit sahaja lagi , cikgu. Saya akan siapkan di rumah.”

Balas saya, “ Siapkan sekarang. Jangan tangguh-tangguhkan kerja.”

Kepada Partiban pula saya berkata, “Kamu tolong anak murid kamu. Pastikan dia menyiapkan latihannya dan pastikan dia hantar buku latihan”

Partiban tersengih. “ Ok, cikgu!”

Kepada Ajim, Partiban berkata, “ Ajim, siapkan sekarang. Saya tolong kamu ajar. ( Bahasa Partiban masih tidak betul!)”

Partiban pergi ke tempat Ajim. Ajim yang sudah menyimpan buku, kembali mengeluarkan buku latihan semula dari dalam beg. Dia pun tersengih-sengih memandang saya.


Sebelum saya keluar, memang semua pelajar dapat menyiapkan latihan dan menghantarnya kepada saya.

Ketika keluar dari kelas, barulah saya perasan sesuatu. Ironinya, pelajar-pelajar India saya telah membantu memberi tunjuk ajar kepada pelajar-pelajar Melayu untuk pelajaran Bahasa Melayu. Alhamdulillah, pelajar-pelajar Melayu tidak terasa hati atau berasa ego sebaliknya membenarkan rakan-rakan India memberikan tunjuk ajar. Bagi pelajar-pelajar India yang dilantik menjadi Penolong Guru, saya yakin self esteem mereka sudah naik.

___________________________

Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!

9 comments:

  1. Konsep guru muda mmg sangat bagus. pelajar akan lebih faham apabila mereka mengajar rakan mereka.

    jemput ziarah ke blog saya http://pbssainsonline.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. Tuan Zamrud, saya bukan guru muda. Hehehe!

    ReplyDelete
  3. Setiap manusia ada kelebihan....

    ReplyDelete
  4. Bagusnya dan mudahnya kaedah ini. Pelajar dan guru sama-sama mudah- memudahkan.

    Maksud Tuan Zamrud tentang guru muda bekemungkinan besar ialah penolong guru yang terdiri daripada pelajar. Pelajar mengajar pelajar.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya!Ya! Apabila membaca komen Tuan Zamrud semula, memang itu yang dimaksudkan. Hehehe!.

      Delete
    2. tuu la maksud saya. penolong guru=guru muda.

      Delete
  5. insha-Allah selepas ini saya akan praktikkan dalam kelas saya.

    ReplyDelete
  6. insyaAllah...mudahnya menjd guru...

    ReplyDelete