Pages

Sunday, March 3, 2013

Apabila dilantik menjadi Penolong Guru, garangnya bukan main lagi.

"Oi! Cikgu mahu ajarlah. Diamlah!" kata-kata Siak Khong mengejutkan saya. Bukan main lagi Penolong Guru Disiplin 5 Saya Sayang. Mahu tergelak juga dibuatnya. Pelajar-pelajar pula memberi respon positif. Diam dan senyap. Semua memandang saya. Menunggu saya bercakap. 

Dalam hati, garang betul Penolong Guru saya ini, mengalahkan cikgu.

Ok. Biarlah saya ceritakan alkisah bagaimana Siak Khong boleh dilantik menjadi Penolong Guru Disiplin.

Kisahnya bermula apabila kelas begitu bising sewaktu saya masuk ke dalam kelas. Memang lumrah apabila pelajar-pelajar bising ketika peralihan waktu dan pertukaran guru. Tambahan lagi pelajar-pelajar 5 Saya Sayang memang jumlahnya ramai. Semuanya pula kaki sembang.

Apabila masuk ke kelas, saya hanya diam dan memandang pelajar. Saya menggunakan Teknik Nabi Menunjukkan Emosi Tidak Suka apabila pelajar-pelajar masih bising. Apabila begitu, ramai pelajar yang diam.

Dalam amalan lazim, apabila pelajar melakukan kesalahan seperti bising di dalam kelas, guru menjadi hilang sabar dan marah, lalu guru bercakap menyuruh pelajar yang bising itu supaya diam.

Kesan bercakap dengan emosi marah:

1. Guru mengalami kepenatan emosi.
2. Tingkah laku murid yang suka bising tidak semestinya berubah.

Emosi adalah alat yang efektif bagi mendorong perubahan tingkah laku. Apabila pelajar bising, guru tunjukkan muka marah. Tetapi guru tidak berkata-kata apa-apa sama sekali.

Teknik Nabi Muhammad: Dalam hadith 'Uncang Duit' Nabi Muhammad menunjukkan cara yang betul menggunakan emosi bagi mendorong perubahan tingkah laku. Apabila beliau mengalami emosi marah, beliau hanya mempamerkan emosi itu pada wajah beliau. Beliau tidak bercakap walau sepatah pun.

Hadith 'Uncang Duit'
Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Jarir bin Abdullah melaporkan, pada suatu hari beberapa orang Arab kampung datang berjumpa Nabi Muhammad dengan memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit binatang yang masih ada bulunya. Apabila Nabi Muhammad melihat kemiskinan orang kampung itu beliau mengesyorkan supaya orang-orang yang ada mengeluarkan sedekah kepada mereka, tetapi anjuran Nabi Muhammad tidak diberikan perhatian serius sehingga menyebabkan tergambar emosi marah pada wajah beliau. Kemudian, ada seorang lelaki datang membawa uncang berisi duit. Selepas itu datang lagi orang-orang lain, sehingga beliau kelihatan gembira. Kemudian Nabi Muhammad berkata, “Sesiapa yang melakukan perbuatan baik dalam Islam, kemudian perbuatannya itu menjadi teladan dan diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat paha sebanyak pahala-pahala yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan pahala mereka sedikit pun tidak dikurangi. Sesiapa yang melakukan keburukan dalam Islam, kemudian diikuti oleh orang-orang lain selepas itu, maka dia mendapat dosa sebanyak dosa-dosa yang diterima oleh mereka yang mencontohinya, sedangkan dosa mereka sedikit pun tidak dikurangi.” -- Hadith No. 1859 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim (Sumber ; tim Hadith Psikologi)

Memang ramai pelajar sedar akan tindakan saya. Ramia yang diam. Dalam waktu saya memandang dengan wajah kurang senang kepada pelajar-pelajar yang masih bercakap dan tidak perasan kehadiran saya, mata saya dan mata Siak Khong berpaut. Segera dia pandang kawan-kawannya yang ada yang masih bercakap. . Katanya, " Diamlah!"

Suara Siak Khong yang kuat dan jelas, menyebabkan kawan-kawan yang masih bising terdiam. Atas kebolehannya itu, maka saya berkata, " Ok. Siak Khong. Mulai hari ini kamu menjadi Penolong Guru Disiplin. "
Saya cuba mengaplikasikan Teknik Melantik Penolong Guru pula berpandukan hadith ‘Pembela Nabi’. Dalam hadith tersebut, pada hari berlakunya Perang Khandaq, Nabi Muhammad telah mengumumkan panggilan perang, lalu Zubair bin Awam menyahut panggilan perang itu. Seruan tersebut dilakukan oleh Nabi Muhammad sebanyak 3 kali dan dijawab oleh Zubair sebanyak tiga kali.  Lalu Nabi Muhammad berkata, “Sesungguhnya, tiap-tiap nabi mempunyai pembela, dan pembela saya adalah Zubair.”

Berdasarkan hadith jelas bahawa Nabi memilih Zubair berdasarkan tindakan Zubair yang mula-mula menyahut panggilan perang. Sebagai guru, saya juga mahu mencontohi tindakan nabi.

Sebenarnya salah satu cara menaikkan self-esteem pelajar adalah dengan melantik mereka memegang jawatan. Selalunya pelajar-pelajar kelas hujung ini jarang dilantik memegang apa-apa jawatanpun. Jadi, saya melantik jawatan Guru Penolong sebab jawatan adalah sumber self-esteem yang sangat efektif.

Respon Siak Khong?

Siak Khong nampak terkejut. Kemudian dia tersengih. Saya yakin dia gembira dengan pelantikan tersebut. Selepas hari itu, dia pasti menajlankan tugasnya. Apabila saya mula mahu mengajar dan diperhatinya ada rakan masih bercakap, pasti akan ditegurnya. Nampaknya dia lebih garang daripada gurunya. :)
_________________________
Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!

2 comments:

  1. Subhanallah. Saya pun nak lantik jugalah! :)

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah, sampai ke post ini saya dapat baca pada malam ini, saya merasakan minda lebih terbuka, hati terisi dan insyaAllah banyak yang boleh dicontohi. Tahniah saya ucapkan kepada penulis di atas perkongsian ini, moga memberi manfaat kepada semua, moga Allah meredhai niat yang baik dan usaha yang murni ini. Saya juga sebagai guru, dan baru bermula ingin mengaplikasi teknik unggul ini, moga sama-sama kita dapat memperbaiki diri, meningkatkan lagi kualiti diri sebagai guru dan melahirkan generasi yang mengikut sunnah Nabi. InsyaAllah. Tahniah sekali lagi dan Jazakillahu khairan kathira.. (^_^)

    ReplyDelete