Pages

Sunday, February 10, 2013

Budak corot risaukan peperiksaan

Teringat satu peristiwa sebelum Peperiksaan SPm pada tahun lalu. Catatan tentang episod kecil ada saya tulis dan simpan dalam dokumen google. Baru tadi terbaca semula.

Selalunya pelajar corot tidak peduli. Ada peperiksaan ataupun tidak, sama sahaja. Namun, apabila sudah didorong dengan teknik Nabi Muhammad, sikap pelajar boleh berubah.


Suatu hari,, saya menerima sms daripada Siddiq iaitu salah seorang pelajar 5PD. Dia meminta kepastian tentang kebenaran akan adanya peperiksaan Gerak Gempur pada hari tersebut. Rupanya Siddiq susah hati kerana dia demam. Simpati pula saya kepadanya.

Yang saya lihat ialah kini pelajar sudah mahu mengambil berat akan hal-hal berkaitan peperiksaan dan berasa bimbang andai tidak dapat menghadirinya. Sanggup pula sms cikgunya. Bukan pula sengaja mahu lari daripadanya atau buat tidak kisah sahaja.

Hari sebelumnya saya menerima sms daripada Dr Syawal (nama panggilan untuk salah seorang pelajar 5PD saya). Dia meminta panduan untuk persediaan Gerak Gempur BM pada keesokan harinya. Saya pula minta dia rujuk Facebook Kumpulan kerana ada bahan yang saya kongsikan bersama-sama pelajar-pelajar 5PD.

Namun, dia tidak boleh melayari internet. Saya hanya sms kembali dengan meminta dia berjumpa rakan-rakannya yang tinggal berhampiran atau 'tibai' sahaja (sengaja saya gunakan perkataan tibai)

Catat Dr Syawal dalam smsnya, " Ha? tibai saja? Tak nak lah saya. Saya nak cuba yang terbaik. Saya nak perbaiki kelemahan saya dalam peperiksaan yang lepas."

Wah! Bersemangat betul anak didik saya itu. Lantaran itu, saya membalas dengan sms yang panjang lepas yang mengandungi tips menghadapi peperiksaan.

Inilah impaknya mendorong pelajar mengikut teknik Nabi Muhammad. Pelajar mendorong diri sendiri dan mahu berusaha lebih tanpa disuruh-suruh. Malah, menolak saranan negatif cikgunya.

______________________

Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!

2 comments: