Pages

Sunday, January 27, 2013

Tunjukkan Cara dan Mulut Diam.

           Hari ini saya mahu berkongsi aplikasi teknik Demonstrasi dan Menunjukkan Cara Gaya Nabi Muhammad. Teknik ini merupakan teknik yang  baru saya pelajari daripada perkongsian Tim Hadith Psikologi melalui buku Modul Hadith Psikologi Nabi Muhammad, Hadith Ammar Mandi Debu.
       
Hadith 'Ammar Mandi Debu'

Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Ammar bin Yasir melaporkam bahawa Nabi Muhammad pernah menghantar dia supaya menjalankan suatu urusan. Kemudian Ammar melakukan hadas besar, tetapi dia tidak mempunyai air bagi melakukan mandi wajib. Lalu dia pun mengguling-gulingkan badannya di atas pasir seperti haiwan ternak berguling-guling. Kemudian dia pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad lalu dia menceritakan apa yang dilakukannya kepada beliau. Nabi Muhammad berkata, "Sebenarnya, cukuplah saudara melakukannya dengan tangan saudara sahaja, begini caranya." Kemudian beliau menepuk kedua-dua tapak tangannya ke pasir dengan sekali tepuk, lalu mengibaskannya. Kemudian beliau mengusapkan tangan kirinya ke tangan kanannya, selepas itu mengusap bahagian atas kedua tapak tangannya, dan kemudian mengusapi mukanya." - Catatan ini terdapat dalam koleksi hadith-hadith autentik Bukhari dan koleksi Muslim


Konsep mudahnya ialah apabila menerangkan sesuatu perkara baru kepada pelajar, dan mahu menunjukkan caranya , elakkan daripada bercakap dan demo serentak.

 Jadi, saya ubah cara saya. Ketika mahu menerangkan teknik penulisan karangan, saya katakan kepada pelajar-pelajar 5PD, " Kamu perlu tulis pendahuluan karangan yang mengandungi perkara-perkara seperti ..."
Saya tidak teruskan kata-kata sebaliknya saya diam dan terus catatkan maklumat di papan putih. Selepas selesai, saya memandang pelajar sambil tangan menunjukkan arah catatan saya. Kemudian barulah saya menerangkan lagi. Kata saya, " Perenggan pendahuluan perlu ada ayat tema, isu semasa dan huraian isu."

Mudah sahaja. Dalam erti kata lain, saya diam ketika mencatat maklumat di papan putih tanpa berkata apa-apa. Bayangkanlah. Selama ini, ketika menulis ketuika itulah menerangkan perkara yang ditulis. Posisi guru dan nada suara guru semamangnya mengurangkan keberkesanan penyampaian maklumat.

Yang saya perhatikan, ketika saya membuat penerangan, saya boleh memandang pelajar dan melihat wajah dan reaksi pelajar saya. Ketika saya berkata-kata, ternyata pelajar memberi tumpuan. Ketika membuat penerangan ada juga saya ternampak Mok dan Mior bercakap. Ketika itu, saya berhenti bercakap dan memandang mereka serta menunjukkan emosi tidak suka. (Aplikasi teknik Nabi Menunjukkan Emosi). Kemudian apabila mereka diam, barulah saya ulangi semula penerangan saya.

Teknik Nabi Muhammad ini menunjukkan bahawa ketika guru menunjukkan cara membuat sesuatu, guru tidak boleh berkata-kata sebaliknya hanya diam. Sebelum atau selepas menunjukkan cara membuat sesuatu barulah guru menerangkan hal tersebut.

Ketika menunjukkan pelajar cara menulis di buku nota/latihan , saya gunakan teknik ini juga. Misalnya, ketika saya menerangkan kepada KH cara menulis di nota, "Pastikan kamu menulis tarikh dan tajuk terlebih dahulu seperti ini." Kemudian saya menunjukkan KH buku latihan kawannya yang sudah tercatat tarikh dan tajuk latihan.

Kemudian saya berkata lagi, " Selepas itu, kamu catatkan tajuk di bahagian dalam kulit buku seperti ini". Saya selak buku latihan kawan KH hingga ke kulit buku dan di sebelah dalamnya sudah ada ruangan tajuk dan tarikh. Saya menggunakan jari dan menunjukkan ke arah catatan di bahagian yang berkenaan. Saya ulangi lagi, "Kamu buat seperti ini."

Melalui cara ini, saya dapati KH lebih memahami perkara yang saya ajarkan. Hal ini dintunjukkan melalui tindakannya membuat kerja sebagaimana yang saya terang dan tunjukkan.

Sekadar perkongsian  penerangan tentang teknik ada diberikan oleh Tuan Ahmad (Tim Hadith Psikologi) dalam FB Kumpulan Alumni Mendorong pelajar Corot. Di bawah ini dicatat kembali perkongsian tersebut.




 Teknik Demonstrasi dan Menunjukkan Cara Gaya Nabi Muhammad.

Dalam keadaan tertentu kita perlu menunjukkan cara sesuatu perkara kepada pelajar dan anak-anak. Contohnya, cara berwuduk, cara menulis, cara mengira, cara menjahit, cara memasak dan sebagainya.

Tekniknya adalah :

Apabila mahu menunjukkan cara, sebut dahulu apakah perbuatan tersebut supaya pelajar dan anak-anak tahu apa yang kita mahu tunjukkan.

Apabila mahu membuat demonstrasi cara-caranya, tidak boleh bercakap apa-apa. Hanya ditunjukkan caranya sahaja.

Contoh :

"Apabila mahu mengira operasi tambah pada pecahan, begini caranya." Tunjukkan cara kira tanpa bercakap, biarkan pelajar memerhati dengan teliti cara kita mengira. (BETUL)

"Apabila menulis huruf 'g', tulis begini." Tunjukan cara menulis huruf 'g' tanpa bercakap sepatah pun. (BETUL)

"Begini cara berwuduk. Kita mula dengan membasuh muka dahulu." Tunjukkan cara berwuduk satu persatu tanpa menerangkan apa-apa. Biarkan pelajar atau anak-anak melihat caranya. (BETUL)

Amalan Lazim

"Apabila menulis huruf 'g', tulis begini." Sewaktu menulis, diterangkan lagi, "Mula-mula kamu buat bulatan (sambil lukis bulatan), kemudian kamu buatkan ekornya (sambil tulis ekor huruf 'g')." (SALAH)

"Begini cara berwuduk. Kita mula dengan membasuh muka dahulu." Sewaktu membasuh muka, diterangkan lagi, "Waktu basuh muka mesti kena pada anak rambut dan dagu." (SALAH)



Jelasnya, teknik ini mudah tetapi lazimnya yang berlaku demo dan menerangkan sesuatu dilakukan serentak.)demo + terang) Namun, mengikut teknik Nabi kedua-duanya TIDAK  boleh diserentakkan (dilakukan sekaligus). Demo cakap demo cakap.
______

Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!

5 comments:

  1. tq so much 4 info...

    ReplyDelete
  2. selama ini silap...betulkan yg biasa, biasakan yg betul...tk

    ReplyDelete
  3. Terima kasih atas perkongsian.
    Saya nak cuba amalkan.
    in shaa Allah.

    ReplyDelete