Sambungan cerita semalam...
Semalam , sebelum 10 minit pelajar berakhir, ada seorang pelajar Cina bertanya, "Cikgu, boleh saya tidur. Semalam, saya kerja. saya letih."
Saya kira pelajar ini tidak sedar bahawa masa P&P saya hampir habis. Pelajar ini dari peringkat awal memang mencari peluang untuk tidak belajar. Dia tidak bawa buku latihan. Saya tidak siasat tetapi terus berikan jalan penyelesaian. Dia mahu keluar ke tandas sebelum siapkan latihan, saya puji tindakannya mahu membuat latihan. Dalam pernyataan impak saya nyatakan dia hanya perlu tulis sedikit lagi sebelum keluar.
Dan terakhir, dia minta kebenaran pula untuk tidur. Macamlah cikgu boleh benarkan dia tidur. Hehehe!
Mulanya saya pandang pelajar itu. Saya tidak berkata apa-apa pada mulanya. Sebenarnya, saya tidak sangka dia akan bertanya demikian. Saya diam kerana berfikir. Menjawab soalan pelajar yang seperti ini tidaklah boleh mengikut emosi. Jadi, saya ambil keputusan untuk memberi informasi tanpa menegur kesalahan atau mengkritik pelajar itu.
Kata saya, " Sememangnya, cabaran yang besar untuk seorang pelajar bekerja sambilan. Belajar dan bekerja pada satu masa memang meletihkan.Tidak semua pelajar mampu berbuat demikian. Hal ini memerlukan pengorbanan yang tinggi."
Kemudian saya puji pelajar ini. " Kamu berusaha datang ke sekolah. Kamu berusaha untuk menahan mengantuk.Kamu salin juga nota. .Tentu kamu dapat habiskan sedikit sahaja nota lagi sebelum kamu berehat."
Sekadar ulangan, perkongsian teknik Nabi Muhammad,
Ciri-ciri pujian Nabi Muhammad:
1. Pilih satu kebaikan yang dilakukan oleh orang itu dan berikan pujian serta-merta serta secara terbuka supaya pelajar-pelajar lain dapat mendengarnya.
Sebagai contoh, pelajar itu tidak menyiapkan latihannya, tetapi tulisannya kemas dan mudah dibaca. Jangan sebut isu latihannya yang tidak disiapkan. Sebaliknya, berikan pujian kepada tulisannya yang kemas itu.
2. Pujian itu ditujukan kepada hasil kerja yang dilakukan oleh orang itu, bukan ditujukan kepada diri orang itu.
Contoh pujian yang ditujukan kepada hasil kerja:
"Tulisan kamu sungguh kemas." (BETUL)
"Kamu sudah cuba menjawab semua soalan. Bagus!" (BETUL)
"Saya suka dengan hasil lukisan kamu. Ia sungguh cantik." (BETUL)
Contoh pujian yang ditujukan kepada diri orang itu:
"Kamu pandai menulis dengan kemas." (SALAH)
"Kamu rajin menjawab semua soalan." (SALAH)
"Kamu mempunyai bakat melukis yang baik." (SALAH)
3. Dalam pujian itu nyatakan impak positif perbuatan yang dipuji.
Perkataan 'impak' (impact) bermakna kesan yang terhasil daripada perbuatan yang dilakukan. Sebagai contoh, tulisan pelajar yang kemas menghasilkan impak karangannya dapat mudah dibaca oleh guru.
Contoh pujian yang tidak menyebut impak:
"Kamu sekarang sudah pandai membaca dengan lancar." (SALAH)
"Bacaan kamu sungguh bagus." (SALAH)
Aplikasi pujian,:
1. Puji serta-merta .
2. Puji kebaikan tindakan/perbuatan/hasil kerja
3. Menyatakan Impak perbuatan/tindakan positif.
Skrip kata-kata :
1/ Kamu berusaha datang ke sekolah. Kamu berusaha untuk menahan mengantuk.Kamu salin juga nota.(pujian) .Tentu kamu dapat habiskan sedikit sahaja nota lagi sebelum kamu berehat.(Impak)"
Pelajar itu diam dan sambung menyiapkan nota. Pada ketika dia sudah siap, masa saya pun tamat. Yang saya lihat, selepas dia menghantar kerjanya, dia bukannya mahu tidur tetapi berdiri dan berjalan-jalan serta bercakap dengan kawan. Saya kira dia memang tidak mahu tidur tetapi apabila hanya duduk sahaja pastinya dia rasa mengantuk. Pelajar begini boleh dibantu dengan adanya aktiviti aktif dalam kelas. Insyaallah, sesi belajar secara bermain dan bergerak aktif akan menyusul.
Selepas kelas, saya bertanya kepada rakan-rakan tentang pelajar tadi. Rupanya dia terkenal dengan pelajar yang selalu tidak bawa buku, malas buat latihan dan suka tidur dalam kelas.
Oh ya! Ada cerita lagi tentang Kah Hou ...bersambung lagi....:)
_______________
Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!
Puan yang bijaksana....
ReplyDeleteSaya mahu buat buku baru. Kali ini bab-bab dalam buku itu disusun ikut 'tema masalah'.
Contoh:
Bab 1: Masalah tidur dalam kelas
Bab 2: Masalah bertumbuk
Bab 3: Masalah tidak bawa buku
Puan,
ReplyDeleteCadangan saya
Bab 4 :Masalah ponteng kelas
Bab 5 :Masalah tidak menyiapkan kerja sekolah
Bab 4 :Masalah merosakkan harta sekolah