Pages

Saturday, March 31, 2012

Apabila mengaplikasikan tiga teknik dalam satu


Berdasarkan pengalaman, tiga  teknik Nabi Muhammad yang paling berkesan digunakan ketika masuk buat pertama kali ke dalam sesebuah kelas ialah Teknik Tidak Menegur Kesalahan, Teknik Menunjukkan Ekspresi Muka dan Teknik Memuji.
Pagi tadi, saya masuk ke kelas 4SV (yang terkenal dengan masalah  pelajarnya) dan mengaplikasikan ketiga-tiga teknik ini dan hasilnya P&P yang tidak dirancang berjalan lancar. Tiada pelajar tidur, tiada pelajar melawan guru dan tiada pelajar buat perangai. Pelajar mendapat ilmu dalam suasana gembira.
Itulah kali pertama saya masuk kelas 4SV. Saya ada mendengar cerita negatif pelajar kelas corot ini. Ada tiga  teknik yang saya aplikasikan ketika masuk menggantikan guru mata pelajaran mereka. Saya kira tiga teknik ini saling berkaitan dan banyak membantu saya dalam menarik perhatian pelajar.
Masuk sahaja saya ke dalam kelas 4SV, saya memandang pelajar-pelajar tanpa berkata apa-apa. Pelajar-pelajar ini juga memandang saya. Tiada seorang pun bangun untuk mengucapkan salam. Namun, tidak seorang pun berkata apa-apa. Semua memandang saya apabila saya memandang mereka.
Akhirnya saya memecah kesunyian dengan bertanya, “Siapa ketua kelas?”
Seorang pelajar perempuan India mengangkat tangannya. Kemudian saya mengaplikasikan teknik Nabi MUhammad tidak menegur kesalahan tetapi menerangkan. Saya berkata, “Sepatutnya apabila guru masuk ke dalam kelas...”
Belum pun sempat saya menghabiskan kata-kata Ketua Kelas 4SV cepat-cepat berdiri dan mengetuai ucapan salam kepada saya.
Selepas membalas salam saya memerhati pula lantai. Saya pandang pelajar seorang demi seorang. Saya tunjukkan ekspresai muka kurang senang dengan kekotoran kelas mereka. Mereka juga mengikut pandangan saya namun masih tidak berbuat apa-apa. Kemudian saya kata, “Pastikan sekeliling tempat duduk kamu tiada sampah.”
Mendengar arahan saya, mereka segera bertindak. Ketika itu, saya berjalan dan memeriksa setiap tempat pelajar sambil pelajar masih dalam keadaan berdiri.. Pelajar yang sedar tempat mereka kotor segera mengutip sampah. 
Namun ada seorang pelajar lelaki Cina yang tidak mengutip sampah tetapi sebaliknya menarik sampah itu dengan kasutnya. Diheretnya kertas-kertas itu dengan kasutnya perlahan-lahan sehingga sampai ke tempat pengaut sampah dan seterusnya menolak sampah ke dalam pengaut sampah tersebut.
Saya dapat rasakan bahawa pelajar tersebut tidak mahu memegang sampah itu dengan tangan. Saya tidak menegur tindakannya. Saya tidak berkata apa-apa sehinggalah sampah sudah dimasukkan ke dalam pengaut sampah itu. Kata saya, “Buang sampah dalam tong sampah di luar kelas.”
Pelajar itu menurut arahan saya. Selesai sahaja, saya kembali ke hadapan kelas dan mengisyaratkan supaya pelajar-pelajar duduk.
Sesungguhnya saya hanya menggantikan guru yang tidak hadir. Saya juga tidak bersedia apa-apa. Namun saya tidak mahu masa berlalu begitu sahaja. Biarpun saya ada membawa kerja yang boleh saya siapkan namun apabila memandang pelajar-pelajar yang nampaknya tiada semangat untuk belajar, saya tukar fikiran.
Mulanya saya catat ‘Ayat Aktif’ di atas papan putih lalu saya tanya, “Siapa tahu ayat aktif, angkat tangan.”
Saya sudah agak bahawa tiada seorang pun akan angkat tangan. Kemudian, saya cuba mengaplikasi teknik semua pelajar angkat tangan dengan menanya soalan yang saya pasti semua pelajar angkat tangan. Tanya saya lagi, “ Siapa yang tidak tahu apa yang dimaksudkan ayat aktif?” Sebenarnya itu pertanyaan yang mempunyai konotasi negatif tetapi saya ajukan juga kerana saya yakin semua pelajar akan angkat tangan.
Sebenarnya ada juga pelajar yang tercengang-cengang. Ada pula yang malas mahu angkat tangan. Jadi, saya ulang sekali lagi, “Siapa yang tidak tahu apa ayat aktif, angkat tangan. Jika kamu tidak angkat tangan, maksudnya kamu tahu apa itu ayat aktif dan kamu boleh jawab soalan saya seterusnya.”
Kali ini, tanpa ragu-ragu mereka semua angkat tangan. Saya beri pula ganjaran sosial kepada mereka dengan mengucapkan kata positif. Saya kata, “Bagus! Sekarang turun tangan.” Hehehe! Saya rasa pelajar mesti pelik. Saya nampak mereka tersengih-sengih. Sejak bila pula apabila tidak tahu, cikgu puji bagus pula.
Kata saya, “Bagus! Kamu mengaku kamu tidak tahu. Jadi, saya akan terangkan apa yang dimaksudkan dengan ayat aktif.”

Di sini saya gunakan teknik memuji Nabi Muhammad. Sebenarnya sengaja saya cari peluang dan ruang bagi saya memuji pelajar. Jadi, apabila pelajar mengaku mereka tidak tahu, pada saya itu merupakan perkara positif dan merupakan satu kebaikan. Jadi, saya puji menggunakan prinsip :- cari kebaikan + puji dan nyatakan impaknya.
Bagus!(Ganjaran sosial-kata-kata positif)  Kamu mengaku kamu tidak tahu. (kebaikan yang dipuji)  Jadi, saya akan terangkan apa yang dimaksudkan dengan ayat aktif.(Impak/kesan )
Seterusnya, pengajaran saya mudah sahaja. Saya berikan prinsip membina ayat aktif paling mudah dan paling ringkas. Pada saya prinsipnya yang perlu diketahui terlebih dahulu.
Sebenarnya, kalau saya ceritakan satu persatu apa yang berlaku, akan panjang meleret-leretlah entri kali ini. Jadi, saya ambil episod-episod tertentu.Yang lain saya akan ceritakan kemudian.

Berdasarkan pengalaman saya mengajar pelajar corot,  saya perlu permudahkan segala-galanya untuk mereka. Itu hanya untuk peringkat awal. Untuk menaikkan self esteem mereka, puji mereka dengan teknik memuji Nabi Muhammad.
Misalnya, dalam kelas 4SV, saya kata, “Saya mahu bercerita tentang pelajar perempuan itu.” Saya tunjuk seorang pelajar perempuan Cina, semua pelajar memandangnya. Kemudian, saya tulis di papan putih- “Pelajar perempuan itu”
Seterusnya, saya ajukan pertanyaan , “ Pelajar perempuan itu buat apa?”
Ada pelajar yang menjawab, “Duduk!”
Ada pula pelajar menjawab, “Pegang buku!”
Ketika ini sudah ramai pelajar duduk tegak dan beri perhatian terhadap pertanyaan saya. Sebaik sahaja saya mendengar jawapan yang betul, segera saya berkata, “Bagus! Jawapan kamu betul!” Saya nampak pelajar itu tersenyum. Saya catat perkataan ‘memegang’ di papan putih.
Saya tanya lagi, “ Pelajar perempuan itu memegang apa?”
Sebenarnya sudah ada jawapan yang diberikan oleh pelajar namun sengaja saya ajukan pertanyaan itu sekali lagi. Hal ini memberi peluang pelajar menjawab dengan betul dan memberi peluang untuk saya memuji mereka.
“Bukuuuuuu...!” Panjang pula sebutan mereka. Kali ini lebih ramai pelajar yang menjawab. Maka peluang untuk memuji mereka tidak saya lepaskan. “ Bagus! Jawapan kamu memang tepat.”

Tersenyum-senyum pelajar-pelajar 4SV yang menjawab soalan tadi. Kali ini , saya tahu saya sudah mendapat perhatian mereka.
Saya pula segera melengkapkan ayat yang saya tulis di papan putih. Itulah yang berlaku seterusnya. Saya pandu pelajar untuk memberi jawapan. Saya puji setiap kali jawapan mereka yang betul. Kalau jawapan mereka salah, saya ajukan soalan yang mengarah kepada jawapan betul. Pada hari itu, saya mengajar pembinaan ayat aktif dan cara menukarkan ayat aktif kepada ayat pasif.
Hari itu juga saya dapat kesan 2 orang pelajar perempuan yang duduk di barisan belakang yang sebenarnya rabun jauh. Apabila saya tanya soalan, dia diam. Saya tanya lagi, “Kamu nampak tulisan saya di papan putih? Apa yang saya tulis di bawah huruf a?” (Soalan terarah bagi membantu pelajar mencari jawapan)
Pelajar itu tersengih. Dia mengeluarkan cermin matanya daripada kotak. Saya tersenyum. Saya tidak tegur kesalahan pelajar yang tidak memakai cermin mata dan menyebabkan dia tidak nampak dengan jelas ayat yang saya tulis di papan putih. Sebaliknya saya letakkan tangan di bahunya. Saya goyangkan sedikit badannya dan menunjukkan aksi geram tetapi dengan wajah ceria dan saya ketawa.. Pelajar itu dan rakan di sebelahnya juga ketawa. Yang ini bukan teknik Nabi Muhammad. Nabi tidak pernah goyangkan badan sesiapapun. Namun ini merupakan cara saya bergurau dengan pelajar.
Selepas pelajar itu memakai cermin mata, saya tanya lagi, “Apa perkataan yang saya tulis di bawah huruf a itu?”
“Buku!” jawab pelajar perempuan Cina itu sambil tersenyum.
“Bagus!” Saya nampak wajah pelajar perempuan itu nampak gembira. Dia tersipu-sipu memandang kawan di sebelahnya.
Sebenarnya, apabila difikirkan kembali , sepatutnya saya boleh puji pelajar ini menggunakan teknik Nabi MUhammad, misalnya saya boleh kata, “ Kamu memakai cermin mata maka kamu boleh nampak perkataan yang saya tulis. Kamu jawab dengan betul!”
Tetapi, biasalah. Kekadang selepas sesuatu kejadian, terutama perkara-perkara baru, saya akan mendapat skrip pujian yang lebih baik. Insyaallah, jika situasi yang sama berlaku, saya akan menggunakannya kembali. Itu sebabnya , saya kongsi dialog-dialog antara saya dan pelajar di blog ini. Harapan saya segala yang baik boleh diteladani dan menjadi panduan manakala yang buruk atau yang tidak elok itu dijadikan sempadan.
Berbalik kepada pelajar 4SV, kerap juga ketika sedang menerangkan sesuatu, ada dua orang pelajar India yang suka bersembang. Setiap kali mereka bersembang, saya berhenti bercakap. Saya pandang mereka. Saya gunakan teknik Nabi Muhammad menunjukkan ekspresi muka yang kurang senang dengan tindakan mereka. Apabila mereka diam, saya teruskan pengajaran.
Dua tiga kali jugalah saya buat begitu. Seperti yang pernah saya tulis dahulu bahawa perubahan tidak berlaku sekelip mata. Saya kira sudah cukup bagus apabila pelajar-pelajar tadi diam apabila saya pandang mereka.

Itu pelajar yang bercakap-cakap, ini pula kisah pelajar yang menampakkan potensi untuk tidur. Apabila ternampak ada seorang pelajar lelaki ini sudah bersiap sedia untuk melabuh tirai, segera saya beri perhatian kepadanya. Saya menghampiri pelajar itu. Saya meletakkan tangan di bahunya. Saya goyangkan sedikit bahunya. Saya tanya, "Boleh kamu jawab soalan itu?"
Saya tunjuk soalan yang tercatat di papan putih. Saya sudah agak bahawa jawapannya. Kata pelajar Cina itu, "Saya tidak tahu."
Saya tidak pasti adakah dia benar-benar tidak tahu atau dia malas hendak menjawab (pelajar ini bukan pelajar saya, jadi saya memang tidak tahu perangainya)
Namun segera pula saya menjawab, "Tidak mengapa. Saya ajar. Mari !"

Saya cuit sedikit bahu pelajar tadi. Saya iring dia ke hadapan kelas.  Saya terangkan sekali lagi apa yang saya catat di papan putih. Kemudian, saya pandu dia mencari jawapan dengan cara menanya soalan yang mudah sehingga dia dapat menjawab dengan betul. Itu semua secara lisan.
"Okay! Sekarang, kamu tulis jawapan kamu."

Ketika menulis ,pelajar itu masih nampak takut-takut. Jadi, apabila dia berjaya menulis perkataan pertama, saya puji "Bagus!"
Kemudian, dia menulis lagi. Saya jawab, "Betul! Teruskan!"
Ada ketika pelajar itu terhenti menulis dan memandang saya dan menyebut dahulu perkataan itu. Jawapannya betul tetapi dia nampak kurang yakin. Rasanya dia takut salah. Saya pula menjawab, "Ya!" jawab saya sambil mengangguk-anggukkan kepala. 
Setelah habis ditulis jawapan, saya puji lagi, "Jawapan kamu tepat. Kamu memang boleh buat."
Dalam hal ini, saya menggunakan prinsip pujian mengikut teknik Nabi Muhammad iaitu pujian diberi sebelum, semasa dan selepas sesuatu kerja yang dibuat.
Sebenarnya, apabila saya mendorong pelajar agar yakin kepada diri sendiri dan apabila self esteem mereka naik, mereka juga akan terdorong untuk menjawab soalan yang diajukan. Mereka juga akan lebih berani menjawab soalan biarpun jawapan mungkin tidak tepat kerana mereka tahu guru tidak marah andai mereka tersalah.
Episod yang memberi petunjuk kepada saya bahawa pelajar-pelajar memberi perhatian dan terlibat dalam P&P ialah apabila pelajar-pelajar bertepuk sorak kegembiraan atas kejayaan rakan mereka yang berjaya menulis jawapan yang tepat di papan putih. Alkisahnya, saya telah meminta dua orang pelajar-seorang pelajar India dan seorang pelajar Cina untuk menulis jawapan bagi soalan yang sama di papan putih pada waktu yang juga sama.
Ketika itu, mereka berdua berlumba-lumba menjawab soalan. Pelajar Cina mendapat sokongan semangat daripada kawan-kawannya. (Pelajar-pelajar Cina memang ramai dalam kelas ini). Saya mendorong pelajar-pelajar ini supaya berasa yakin dan menulis jawapan di papan putih. Apabila pelajar lelaki Cina mendahului rakan sekelasnya dalam menulis jawapan dan jawapannya memang tepat, rakan-rakannya bertepuk dan bersorak kegembiraan.
Berdasarkan episod-episod kecil ini, saya dapati bahawa teknik memuji Nabi Muhammad digandingkan penggunaannya dengan teknik Nabi tidak menegur kesalahan tetapi menggunakan teknik ekspresi muka, pelajar corot 4SV terdorong untuk memberi perhatian dan belajar sesuatu daripada kelas ganti pada hari tersebut. Subhanallah! Sememangnya teknik nabi merupakan mukjizat.

________________________

Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!

Wednesday, March 28, 2012

Apabila ada ramai Guru Penolong

     Apabila mengajar di kelas Peralihan bagi aktiviti bacaan Fasa 3 (individu), saya memerlukan bantuan  Guru-guru Penolong dalam menyemak sebutan dan intonasi sebutan pelajar-pelajar KP.
     Nabi Muhammad juga mempunyai Penolong. Saya juga pernah menulis catatan tentang hal ini di blog.

Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Jabir bin Abdillah melaporkan bahawa pada hari berlakunya Perang Khandaq, Nabi Muhammad telah mengumumkan panggilan perang, lalu Zubair bin Awam menyahut panggilan perang itu. Selepas itu, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan perang, lalu sekali lagi Zubair bin Awam menyahut panggilan itu. Kemudian, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan perang, lalu sekali lagi Zubair bin Awam menyahut panggilan itu. Lalu Nabi Muhammad berkata, “Sesungguhnya, tiap-tiap nabi mempunyai pembela, dan pembela saya adalah Zubair.” - Hadith nombor 1643 dalam kitab Ringkasan Sohih Musliml
(Sumber dari PuanAinon Mohd.)


      Saya sudah kenal pasti Guru-guru Penolong yang dapat membantu saya iaitu Jia Jun, Uma, Darsini, Kar Hau, Vikneshwari dan Chi Ching.
Masing-masing diberi seorang anak murid. Sebelum mereka menyemak bacaan anak-anak murid mereka itu, mereka sendiri akan diuji dulu. Selepas itu, barulah mereka menjalankan tugas mereka.
    Kata saya, "Kamu dengar bacaan kawan kamu. Kalau kawan kamu tersalah sebut sesuatu perkataan, kamu betulkan kesilapan mereka dengan menyebut perkataan itu dengan betul."
    Semuanya berlaku serentak.  Suara bising pelajar-pelajar yang membaca memang memenuhi ruang. Suara bising pelajar yang bergurau senda juga kedengaran. Saya pula memantau aktiviti bacaan. Apabila Guru Penolong yakin bahawa muridnya boleh membaca dengan sebutan yang betul, dilaporkannya kepada  saya. Seperti kata Vikneshwari, "Cikgu, Parimalai sudah pandai baca."
    Saya pula akan mengangguk-anggukkan kepala atau pun berkata, "Bagus!" Kemudian,saya akan mendengar bacaan mereka (sekiranya sempat).
   Dengan adanya Guru Penolong maka tugas menyemak sebutan pelajar secara individu adalah lebih mudah dan cepat.
    Alhamdulillah! Tercapai juga objektif pengajaran pada hari itu.

 Darsini mendengar dengan kusyuk bacaan Tamil. Memang ada gaya Guru Penolong.

Bacaan Naga pula disemak oleh Uma. Uma tersengih sahaja sepanjang menyemak bacaan Naga 

 Jia Jun lebih suka duduk satu kerusi dengan Wai Poh ketika mendengar bacaan kawannya itu.


Vikneshwari mendengar bacaan Parimila.

Vikneshwari pula yang menyebut kembali perkataan yang salah dibaca oleh Parimila.
______________

Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!

Tuesday, March 27, 2012

Apabila tidak menegur kesalahan tetapi menerangkan tingkah laku positif

Hari ini ada pelajar 5 PD yang mengadu kepada saya tentang sikap dan kata-kata negatif yang dikeluarkan oleh salah seorang rakan mereka yang menyebabkan hati mereka tersinggung. 
Mereka pula berkecenderungan untuk mengata-gata kawan mereka pula. Agak kesal juga saya mendengar aduan tersebut namun saya tidak pula berkata apa-apa. Saya hanya diam dan mengangguk-angguk kepala mendengar aduan mereka itu. Tidak pula saya menegur sikap mereka itu.
Namun apabila saya berada di dalam kelas, saya cuba mengaplikasikan teknik Nabi Muhammad tidak menegur kesalahan tetapi menerangkan.
Saya kata, “Sebelum kita memulakan pelajaran pada hari ini, saya ingin berkongsi sedkit maklumat dengan kamu.”
Kemudian saya diam. Saya pandang wajah-wajah pelajar saya. Untuk beberapa ketika, saya menyambung kata-kata lagi, “ Andai kita berbicara dengan seseorang,  sebaik-baiknya kita berbicara dengan nada lembut, mesra dan kata-kata yang diucapkan merupakan kata-kata positif. 
Kesannya, kita dapat menggembirakan hati rakan bicara kita. Bagi orang Islam pula, pastinya Allah memberikan pahala yang berlipat kali ganda. Hal ini juga merapatkan hubungan silaturahim antara kita. Seandainya yang berbicara dengan sopan dan mengeluarkan kata-kata positif ialah pelajar saya iaitu kamu, tentunya saya sebagai guru kamu pasti gembira mendengarnya. Malah kalau ada orang lain yang turut mendengarnya, saya akan berkata, “mereka ini pelajar saya”.
Ketika berkata-kata demikian, pelajar-pelajar saya senyap. Pelajar-pelajar yang mengadu kepada saya menunjukkan reaksi faham dan ada dalam kalangan mereka yang mengangguk-angguk kepala. Pelajar yang menuturkan kata-kata negatif itu pula seolah-olah sedang berfikir. Saya rasakan bahawa dia dapat rasakan sesuatu. Semoga dia terdorong untuk berubah. Begitu juga dengan pelajar-pelajar yang mengadu tadi. Ketika mengadu,sebenarnya mereka menyatakan keburukan rakan.
Saya yakin teknik Nabi Muhammad tidak menegur kesalahan tetapi menerangkan lebih berkesan dalam mengubah tingkah laku pelajar daripada tingkah laku negatif kepada tingkah laku positif. Insyaallah! Itulah mukjizat teknik mendorong Nabi Muhammad.

___________________

Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!

Monday, March 26, 2012

Apabila guru memasak untuk pelajar


Dalam teknik motivasi gaya Nabi Muhammad, ganjaran diberikan kerana seseorang itu sudah berusaha. Semakin kuat dia berusaha semakin dia layak menerima ganjaran yang lebih banyak dan lebih besar. Ganjaran bukan diberikan ke atas hasil
Dalam perang, mereka yang mati (kira 'gagal') mendapat ganjaran syurga...
Apabila usaha yang diberi ganjaran, maka dorongan untuk meningkatkan usaha akan bertambah tinggi.
Ibu bapa dan sekolah memberi hadiah berdasarkan hasil - dapat 10 A adalah hasil. Nabi Muhammad memberi ganjaran ke atas daya usaha. Walaupun seseorang tidak dapat A langsung, tetapi dia kuat berusaha, jadi dalam sistem ganjaran Nabi Muhammad, dia layak menerima hadiah.
(Sumber:Ainon Mohd. )
Saya pernah cuba mengaplikasikan teknik Nabi Muhammad memberikan ganjaran dengan cara memberikan ganjaran material kepada pelajar-pelajar .Disebabkan pelajar-pelajar 5PD sudah berusaha untuk belajar dan mereka semua juga mengambil ujian 1 tempohari (sebelum ini ada yang sengaja ponteng sekolah dan ponteng ujian termasuklah ujian Bahasa Melayu), saya telah menjemput pelajar-pelajar 5PD untuk makan-makan di rumah saya.
        Menu istimewa tentulah tomyam masakan kesukaan saya. Saya tidak rancang awal. Semasa cuti sekolah,  tiba-tiba  terfikir untuk saya memberikan  ganjaran material kepada anak-anak 5P atas usaha mereka. Sebagai tanda penghargaan juga saya rasa lebih baik saya masak sendiri untuk mereka. Jadi, saya sms beberapa pelajar untuk menjemput mereka dan meminta mereka memaklumkan kepada rakan-rakan.
           Sebenarnya hanya separuh daripada pelajar 5PD yang dapat hadir. Kemungkinan kerana hari cuti sekolah dan masing-masing ada program (biarpun jamuan itu saya adakan pada hari Ahad.) Atas masalah teknikal juga kumpulan pelajar India tidak dapat dimaklumkan oleh rakan-rakan mereka kerana tiada nombor telefon untuk dihubungi.           
       Walau apapun, saya terima keadaan itu dan bercadang untuk memberi ganjaran material kepada mereka di sekolah sahaja sekiranya ingin berbuat demikian pada lain kali. Hal ini bagi memastikan semua pelajar 5PD menerima ganjaran tersebut.
Selepas makan, saya tunjukkan pula video slide gambar-gambar pelajar 5PD. Mereka yang menontonnya ketawa melihat wajah-wajah mereka sendiri dalam tayangan gambar tersebut.
            Namun, ada satu peristiwa yang menyentuh hati saya apabila pada hari tersebut saya berkenalan dengan ibu bapa Abang Chik. Atas kesungguhan Abang Chik, dia datang juga ke rumah saya biarpun waktunya agak lewat. Ini yang dinamakan ganjaran dibalas ganjaran. (Nantikan ceritanya dalam episod akan datang.)



















_______________

Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!

Sunday, March 25, 2012

Apabila pelajar memimjam buku resepi

Saya pernah membawa buku-buku cerita ke kelas 5PD untuk mereka baca dan pinjam. Pinjaman kali pertama sudah dipulangkan. (Baca cerita mereka di sini) Saya juga dapat merakam Hj Shakir bercerita tentang buku yang dibacanya. (Cerita dapat dibaca di sini)
Hari itu merupakan kali kedua saya membuat perkara yang sama. Saya bawa buku-buku cerita ke dalam kelas 5PD dan selepas mereka memberi salam, saya susunkan buku-buku itu di meja di barisan yang paling hadapan. 
Kemudian saya berkata, “ Ok. Kamu semua boleh ke hadapan dan memilih buku cerita yang kamu mahu pinjam. Kemudian tulis nama buku dalam buku rekod pinjaman.”
Maka berebut-rebutlah pelajar memilih buku. Saya biarkan mereka. Saya yakin tiada buku yang akan dicuri kerana mereka tidak perlu berbuat demikian. Mereka boleh pinjam dan pulangkan setelah membacanya. Saya hanya duduk di barisan tengah dengan buku rekod pinjaman buku cerita dan menunggu pelajar-pelajar merekodkan pinjaman mereka.
Orang pertama yang menulis rekod pinjaman ialah Dr Syawal. Selepas itu, berebut-rebut pula pelajar-pelajar yang lain mahu menulis nama mereka dan nama buku yang dibaca.
Pada satu ketika Hj Shakir bertanya kepada saya, “ Cikgu, boleh saya pinjam dua buah buku?”
Saya jawab dengan mudah, “Boleh! Tulis sahaja nama buku dalam buku rekod pinjaman.”
Hj Shakir tersenyum gembira.
Pada ketika yang lain pula, Hemasri pula datang berjumpa saya. Katanya, “Cikgu, saya pnjam dua buku.” Saya tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepala lalu menghulurkan buku rekod pinjaman kepada Hemasri untuk dia buat catatan.
Frank pula asyik membelek-belek buku yang ditulis oleh Ain Maisarah. Dia bertanya kepada saya, “Siapa pinjam buku ini, cikgu.” Buku itu baru sahaja dipulangkan oleh salah seorang pelajar 5PD bagi pinjam yang pertama dahulu.
Saya jawab, ‘Saya tidak ingat.” Saya agak musykhil tujuan Frank bertanya soalan tersebut. Bimbang juga dia sekadar ingin mengusik peminjam sebelumnya.
Frank bertanya kepada kawan-kawannya yang lain sambil menunjukkan buku cerita yang dipegangnya.Tanya Frank. “Siapa yang pinjam buku ini?”
Nabila pula yang berjawab, “Saya! “
Frank menyoal Nabila, “Best tak cerita ini?”

Nabila membalas, “Best!”
“Okay. saya mahu pinjam buku ini, cikgu. “kata Frank.
Rupanya Frank mahu testimonial daripada rakannya tentang buku yang dilihatnya menarik dan mahu dipinjamnya. Kemungkinan dia mahu meyakinkan dirinya bahawa dia memilih buku yang tepat.
Abang Long pula meminjam buku Komik M. Sementara menunggu kawan-kawannya memilih buku, dia sudah tersenyum-senyum menatap buku di tangan. Dia nampak gembira membaca buku itu.
VMV dan Thinesh tidak meminjam buku. “Kamu tidak suka membaca buku? “tanya saya.
Kata VMB, “Cikgu, saya mahu pinjam buku resepi. Saya tidak mahu buku cerita.”

Saya teringat perbualan saya dengan VMB tempohari. VMB pernah bertanya tentang buku resepi. Dia mahu pinjam dan berikan kepada emaknya. Katanya, “Saya mahu emak saya masak sedap-sedap!” 
Tersenyum saya mendengarnya. Teringat saya akan hal itu, saya segera membalas, “Okay, selepas kelas ikut saya ke Galeri Ilmu (laluan bacaan -tempat disimpan buku-buku cerita dan buku umum untuk bacaan pelajar) , saya akan beri kamu pilih buku resepi yang ada di sana.”
Sememangnya, VMB dan Thinesh mengikut saya ke Galeri Ilmu selepas kelas. Kebetulan ada satu set buku resepi (yang nipis) yang sudah saya beli untuk Galeri Ilmu. Saya biarkan VMB memilihnya. VMB pinjam buku resepi Nasi dan Masakan Kambing. Berebut pula dengan Thinesh. Kata Thinesh, “Beri saya buku Masakan kambing itu. Saya sendiri mahu masak tetapi VMB tidak mahu memberikannya.
Kata saya, “Thinesh, kamu cubalah masak masakan Siam. Pinjam buku ini. Masakan Siam sedap, tahu?”
Mendengar kata-kata saya, akhirnya Thinesh meminjam buku resepi bertajuk ‘Siam’
Episod kecil ini menyedarkan saya bahawa sememangnya pelajar mempunyai minat yang berbeza dan peluang mendedahkan tentang buku-buku kepada pelajar-pelajar membuka rahsia minat dan kecenderungan pelajar. Misalnya VMB, sesungguhnya saya tidak menyangka dan terfikri bahawa buku resepi menjadi buku pilihan. Dia juga nampaknya mempunyai keinginan untuk memberikan emaknya resepi yang sedap yang boleh dimasak oleh emaknya.
Berlainan pula dengan Thinesh. Dia sendiri memberitahu bahawa dia suka memasak. Tindakan dia meminjam buku resepi menggembirakan saya. Sesekurang-kurangnya dia belajar sesuatu daripada buku itu. kemungkinan akan datang saya akan bertanya sama ada dia pernah mencuba resepi yang terdapat dalam buku tersebut.
Teringat saya pula kepada Ah Chiew dan Ah M. Mereka berdua suka kepada bidang fotografi. Hal ini saya ketahui kerana mereka pernha meminjam buku Fotografi daripada saya. Kemunginan nanti saya boleh membeli buku yang berkaitan Fotografi untuk mereka baca.
Apa yang saya pelajar daripada episod ini ialah jika diberi peluang dan pendedahan pelajar-pelajar kelas belakang ini juga berminat untuk membaca buku. Kalau peringkat awal, mereka tidak datang mencari buku, tiada salahnya guru membawa buku kepada mereka. Lama-kelamaan saya yakin tabiat membaca akan dapat disemai yang mana mereka sendiri yang akan mencari buku yang mahu dibaca oleh mereka. Apa-apapun cetusan minat itu datangnya dari guru itu sendiri. Berkat amalan teknik mendorong Nabi Muhammad, perubahan demi perubahan positif dapat dilihat pada pelajar-pelajar 5PD. Syukur Alhamdulillah!

__________
Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!

Thursday, March 22, 2012

Mengubah tingkah laku negatif tanpa menegur kesalahan 2

Memang ada yang bertanya kepada saya , bagaimana mahu menegur kesalahan pelajar tanpa berkata apa-apa? Bagaimana pelajar mahu berubah andai kita tidak tegur kesalahannya? Saya pun pada peringkat awal mencuba mengaplikasikan teknik mendorong Nabi Muhammad agak pening juga memikirkannya.
Pada mulanya, saya cuba untuk tidak berkata apa-apa ketika pelajar melakukan kesalahan. Apabila saya rasa saya perlu menghentikan tindakan negatif pelajar, saya akan panggil namanya. Itu sahaja. Kalau dia tidak sedar akan kesalahan, saya akan memandang pelajar yang membuat kesalahan tanpa kata-kata dan ada masanya disertai juga dengan wajah serius atau masam atau pun marah. 
Dalam erti kata lain saya buat eksperasi muka yang menunjukkan saya tidak suka akan perbuatan pelajar itu. Selalunya berhasil. Kalau pelajar bising, mereka akan diam. Kalau pelajar tidak fokus, mereka akan kembali memberi tumpuan. Dalam hal ini saya cuba mengikut sunnah Nabi Muhammad iaitu Nabi menggunakan teknik ekspresi muka.
Ada satu kisah yang mana kata-kata Nabi Muhammad tidak semestinya akan terus dilaksanakan oleh mereka yang mendengarnya. (Baca kisahnya di sini) Apabila tidak ada sesiapa menyahut kata-kata Nabi Muhammad itu dengan memberi sedekah kepada orang-orang miskin itu, wajah beliau menunjukkan beliau marah. Tetapi beliau tidak bercakap apa-apa. Beliau diam sahaja. Dalam erti kata yang lain Nabi Muhammad tidak berkata apa-apa bagi meluahkan emosi marahnya. Dari satu sudut dapat kita andaikan bahawa wajah marah Nabi Muhammad itu adalah fakor menyebabkan orang itu menyahut cadangan beliau itu dan menyerahkan uncang duitnya sebagai sedekah, yakni bukan kata-kata yang diucapkan oleh Nabi Muhammad. Dari satu sudut lain, dapat juga diandaikan bahawa emosi adalah salah satu elemen daya persuasi, oleh itu emosi dapat digunakan bagi mendorong perubahan tingkah laku orang lain.Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad menunjukkan bahawa emosi marah beliau itu mempunyai daya pengaruh yang tinggi. Namun emosi marah yang persuasif adalah emosi yang tidak diiringi oleh sebarang kata-kata.(Sumber : Tim Analisis Hadith Psikologi)
Satu cara saya mengubah tingkah laku negatif pelajar pula ialah dengan memuji pelajar. Maksud saya andai pelajar A yang hendak diubah tingkah lakunya, maka saya  memuji tingkah laku positif pelajar-pelajar lain. Misalnya, jika pelajar A masuk lambat ke dalam kelas, ketika itu puji saya pelajar B yang masuk cepat. Jika pelajar A bercakap ketika guru mengajar,ketika itu puji pelajar lain yang diam dan memberi tumpuan kepada guru mengajar. Insyaallah, tingkah laku negatif pelajar A akan berubah tanpa perlu menegur kesalahannya.
Walau bagaimanapun guru menghadapi  risiko tinggi andai ketika memuji dimulakan dengan membanding-banding, misalnya guru berkata, "A, cuba kamu jadi seperti B. Dia masuk cepat dalam kelas (+ impak)" Prinsip yang betul ialah puji B menggunakan teknik Nabi tanpa menyebut langsung nama A (atau tanpa cuba menasihati A). 
Yang perlu dilakukan hanya memuji pelajar B akan tindakan positifnya yang diharapkan diikuti oleh pelajar A. Hal ini kerana pujian yang dibuat secara terbuka akan mendorong orang lain yang mendengar pujian juga melakukan tindakan yang dipuji.
Entah mengapa pada hari itu VMB agak lambat menyiapkan latihan yang diberi. Selalunya dia yang paling bersemangat. Saya tidak tegur akan sikapnya dan tindakannya yang lambat membuat latihan tetapi saya puji kawan-kawannya yang lain yang menghantar latihan tepat pada masanya. 
Ketika VMB masih terkial-kial menyiapkan latihan, saya berdiri di sebelah mejanya (VMB duduk di barisan nombor dua) dan memandang pelajar-pelajar yang lain sambil berkata, “Saya suka apabila kamu berusaha menyiapkan latihan dalam masa yang telah ditetapkan. Jika kamu teruskan tindakan kamu yang sentiasa fokus dalam pelajaran dan fokus juga ketika membuat latihan, pastinya kamu menyenangkan hati saya dan insyaallah kamu akan berjaya dalam SPM nanti.”
Ketika berkata demikian, saya cuba melihat VMB dengan ekor mata dan saya lihat dia tersengih. Saya tahu dia tahu apa yang cuba saya sampaikan di sebalik pujian kepada rakan-rakan sebab VMB menjawab, “Cikgu, saya siapkan latihan cepat. Jangan bimbang.”Pujian kepada rakan-rakan mendorong VMB untuk menyiapkan latihan dengan kadar segera.
Dalam peristiwa lain pula, saya ingin mengubah tingkah laku negatif pelajar 5PD iaitu Prof, Frank dan Siddiq yang balik dari rumah saya semasa jamuan tanpa memaklumkan hal yang sebenarnya kepada saya. Mereka hanya mengatakan bahawa mereka mahu memulangkan motor yang dipinjamkan dan akan kembali semula. 
Saya tidak tegur kesalahan mereka namun saya puji pula kumpulan Gadis M. Saya kata, “ Kumpulan Gadis M telah memaklumkan kepada saya bahawa mereka mahu meminta diri setelah beberapa lama berada di rumah saya. Itulah tindakan yang baik dan tindakan yang wajar dilakukan kerana dengan cara tersebut saya sudah maklum bahawa mereka mahu pulang dan saya pula berpeluang untuk mengucapkan terima kasih atas kehadiran mereka ke rumah saya. Hal ini menunjukkan adab sopan ketika berkunjung dan pulang daripada sesuatu majlis.”
Sekadar ulangan, Teknik Memuji Nabi Muhammad- (puji kebaikan dan nyatakan impaknya).Puji kebaikan:
1) Mereka mahu meminta diri setelah beberapa lama berada di rumah saya.
2) Tindakan yang baik dan tindakan yang wajar dilakukan
Impak:
1) Saya sudah maklum bahawa mereka mahu pulang
2) Saya pula berpeluang untuk mengucapkan terima kasih atas kehadiran mereka ke rumah saya
Selain itu, dalam masa yang sama saya juga mengaplikasikan teknik Tidak Menegur Kesalahan Tetapi Menerangkan. Saya tidak tegur kesalahan pelajar-pelajar saya yang balik ke rumah tanpa memaklumkan kepada saya tetapi saya menerangkan perkara yang sepatutnya mereka lakukan. Hal ini (merujuk kepada tindakan kumpulan Gadis M memaklumkan kepada saya bahawa mereka mahu pulang) menunjukkan adab sopan ketika berkunjung dan pulang daripada sesuatu majlis.”
Ketika saya puji mereka dan memandang kumpulan Gadis M, Prof, Siddiq dan Frank tersipu-sipu malu. Daripada ekor mata saya juga saya dapat melihat mereka mencuit antara satu sama lain. Sekurang-kurangnya saya tahu bahawa daripada reaksi mereka, tiga sahabat ini sedar akan kesilapan mereka dan mereka diberi maklumat tingkahlaku yang positif yang sepatutnya mereka lakukan.
Apabila mahu mendorong pelajar supaya menghargai usaha dan penghargaan orang lain terhadap mereka, saya puji pula pelajar-pelajar yang datang ke rumah saya untuk menikmati masakan tomyam yang saya buat untuk mereka. (Saya ceritakan tentang Teknik Memberi Ganjaran dalam entri yang lain).Kata saya kepada mereka ketika berada dalam kelas 5PD selepas jamuan tersebut, “ Terima kasih kerana sudi datang ke rumah saya. Tindakan kamu yang sanggup meluangkan masa dan bersusah payah datang ke rumah merupakan satu penghargaan kepada usaha saya.”
Dalam hal ini , saya tidak menegur kesalahan pelajar mahupun mengkritik pelajar yang tidak datang ke rumah saya sedangkan jamuan ringan itu adakah untuk meraikan kejayaan mereka dalam ujian 1 tetapi sebaliknya saya puji pelajar-pelajar yang hadir . 
Kelebihan pujian mengikut teknik Nabi Muhammad ialah orang yang mendengar pujian akan terdorong untuk melakukan tindakan yang sama. Insyallah, pada masa akan datang saya yakin akan ramai pelajar akan berusaha untuk hadir dalam jamuan yang diadakan untuk mereka.

___________________
Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!

Tuesday, March 20, 2012

Mengubah tingkah laku negatif tanpa menegur kesalahan

Baru-baru ini, ada satu entri saya telah mendapat komen berikut:-
Assalamualaikum cikgu..saya gembira setiap kali membaca entry cikgu. Saya rasa bersemangat untuk masuk ke kelas dan mendidik pelajar mengikut Teknik Rasulullah. Tapi almaklumla sebagai manusia biasa, saya seringkali alpa dan terlupa. Banyak marah dan kritik dari memuji. Saya ingin nasihat cikgu bagaimanakah cara yang terbaik untuk kita menegur pelajar-pelajar? Ini kerana saya perhatikan sebelum ini saya gunakan cara yang tegas, datang lambat denda, meniru denda, lama2 mereka jadi lebih baik wapun terpaksa. Tapi kali ini saya ingin cuba gunakan cara lain, tapi saya tak tahu bagaimanakah caranya..harap cikgu dapat membantu saya

Apabila membaca komen tersebut, yang terlintas saya ialah saya tidak boleh memberi nasihat kepada sesiapa. Mengikut teknik Nabi Muhammad yang saya pelajari, nabi tidak memberi nasihat. Namun untuk membantu sahabat kita ini dan mereka yang menghadapi situasi yang sama, saya akan berkongsi maklumat dan juga pengalaman saya (iaitu apa yang saya lakukan ketika menghadapi salah laku pelajar). Semoga dengan cara ini, kita dapat saling membantu demi kepentingan anak-anak didik kita.
Entri kali ini saya ingin berbicara tentang Teknik Tidak Menegur Kesalahan dan Teknik Memberi Ganjaran dan Teknik Memberi Pujian iaitu tiga teknik mengikut Teknik Mendorong Nabi Muhammad. Melalui pengalaman saya, ketiga-tiga teknik ini banyak membantu saya mengubah tingkah laku negatif pelajar kepada tingkah laku positif. Ketiga-tiga teknik ini kait-mengait antara satu sama lain.
Objektif mudah saya ketika masuk ke kelas 5SV ialah mahu pelajar belajar, terlibat dalam sesi pembelajaran dan membuat latihan. Pelajar 5SV merupakan pelajar tercorot Tingkatan 5. Hari pertama selepas cuti membuatkan mood mereka masih lagi mood bercuti.
Ketika saya melangkah masuk suasana masih suram. Ada yang tidur seperti Mei Ting, Foong Kuan, Suit Kuan dan Mun Kit .Mun Choon dan Khai Mun  masih lagi bersembang.Soon Hooi pula hanya senyum-senyum. Fadli dan Fauzan pun hanya duduk-duduk sahaja. Tiada apa-apa pun yang diletakkan di atas meja. Tanis, Kiree, Mani,Punes, Vicky, Kanagesh dan Wong entah ke mana.
Untuk makluman semua pembaca, berdasarkan pengalaman saya, saya dapati  memang ada perbezaan antara masuk ke dalam kelas dengan wajah ceria dan masuk ke kelas dengan wajah yang serius. Aura guru memang akan mendekati pelajar. Pelajar dapat rasakan apa yang guru rasa biarpun mungkin mereka tidak memahaminya. Saya tahu akan hal itu dan saya dapat rasakan perbezaan suasana kelas jika saya gembira dengan ketika saya tidak gembira ketika masuk ke dalam kelas..
Disebabkan saya pun masih dalam mood yang tidak gembira (emak saya masih sakit ketika ini) memang tiadalah ganjaran senyuman ketika masuk ke kelas. Sebagai manusia biasa, saya memang tidak dapat berpura-pura senyum sedang hati tidak gembira. Aura negatif daripada pelajar juga seolah-olah cuba menguasai saya namun alhamdulillah saya masih dapat berjaya mencapat objektif saya dengan bantuan Teknik Mendorong Nabi Muhammad.
Yang pertama, saya aplikasikan teknik Tidak Menegur Kesalahan Nabi Muhammad tetapi saya menerangkan. Saya tidak marah pelajar yang tidur tetapi saya tidak biarkan mereka terus tidur. Yang saya lakukan ialah mencatat perkara penting di papan putih. Kemudian, saya kejut semua pelajar yang tidur dengan berkata secara terbuka, “Sekarang, saya mahu memulakan pelajaran.”
Pada waktu itu, saya melihat ada juga pelajar yang sudah tidur lena yang tidak dengar dan tidak perasan pun saya masuk ke dalam kelas.
Jadi, pelajar seperti Mei Ting dan Mun Kit saya kejutkan dengan menggoyang-goyangkan badan perlahan-lahan dan memanggil nama mereka. Apabila mereka sudah sedar, saya berkata, “Hari ini saya mahu ajar tentang ayat susunan biasa dan ayat susunan songsang.”
Sungguh, mereka tidak membantah. Mereka bangun dan bersedia untuk belajar. Itu sebabnya saya merasakan tindakan guru yang membiarkan sahaja pelajar tidur tanpa berusaha untuk berbuat sesuatu adalah tidak wajar. Apabila berhadapan dengan pelajar-pelajar corot, guru tidak boleh berputus asa. Self esteem mereka sudah jatuh dan apabila mereka berpendapat guru tidak mempedulikan mereka, mereka juga tidak ambil peduli.
Semua pelajar yang keluar pada waktu sebelumnya telah masuk semula ke dalam kelas dan saya tidak bertanya pun kenapa mereka lambat sebab saya cuba mengaplikasikan teknik Nabi Muhammad yang tidak menyiasat punca kesalahan. Walau bagaimanapun , sebenarnya jika saya ingin tahu sebab musababnya  saya boleh menggunakan teknik Nabi Muhammad yang tidak menggunakan soalan ‘mengapakah’ tetapi diganti oleh ‘apakah’ dan diikuti oleh ‘tidakkah’. Misalnya, “Apakah yang menyebabkan kamu tidak berada dalam kelas. Tidakkah kamu tahu perbuatan kamu melanggar peraturan. Sepatutnya kamu berada dalam kelas sewaktu P&P. JIka kamu keluar tanpa alasan munasabah kamu boleh dikenakan tindakan disiplin.”
Namun, disebabkan perkara berlaku tanpa saya duga dan berlaku secara spontan, saya memang lupa mengaplikasikan teknik bertanya cara Nabi Muhammad ini tetapi saya hanya diamkan kesalahan yang mereka lakukan dan mengubah tingkah laku negatif mereka dengan memuji perkara positif yang mereka lakukan. Seperti penerangan yang dibuat oleh Puan Ainon, 

Jika orang itu melakukan kerja yang baik, tetapi pada waktu yang sama dia juga melakukan kesilapan, diamkan kesilapannya, dan berikan pujian sahaja.
Berbalik kepada cerita pelajar-pelajar 5SV, memang ada sekali sekala  tingkah laku negatif yang dilakukan oleh pelajar. Apabila ada pelajar yang berbual-bual ketika saya menerangkan isi pelajaran, saya akan diam dan merenung mereka. Kemudian apabila mereka diam, saya berkata, “ Terima kasih, kamu diam sewaktu saya mahu menerangkan isi pelajaran. Apabila kamu fokus, kamu akan memahami apa yang saya ajarkan.”
Kadangkala saya panggil nama mereka dan tindakan saya ini biasanya membuatkan mereka terdiam dan memandang saya. Saya pula beri respon tersenyum. Kadang kala diikuti oleh pertanyaan, “ Boleh saya teruskan penerangan saya?” Biasanya  respon pelajar juga positif sama ada mereka mengangguk-anggukkan kepala atau mengucapkan kata-kata positif seperti “Ok, cikgu!” atau “Boleh, cikgu!”.
Apabila mereka mahu memberi perhatian, menjawab soalan saya dengan tepat dan membuat latihan, saya beri ganjaran positif berbentuk sosial seperti tersenyum, mengangguk-angguk kepala dan mengucapkan kata-kata positif seperti “Bagus!” “Baik!”
Saya juga menghadapi cabaran apabila berhadapan dengan pelajar-pelajar 5SV saya. Itu tidak dapat dinafikan. Namun, alhamdulillah, saya hadapi cabaran tersebut dan tidak lari daripadanya. Pada satu ketika, saya meminta Khai Mun menulis jawapan di papan putih. Jawabnya, “Saya tidak tahu.” Saya kira pelajar-pelajar 5SV self esteem mereka lemah. Itu sebabnya masih ada dalam kalangan mereka yang takut untuk mencuba.
Balas saya, “Tidak mengapa, saya ajar. Saya tahu kamu boleh buat latihan tersebut.” Selepas itu, saya berikan pen marker kepada Khai Mun dan dia mengikut saya ke papan putih. Apabila saya sudah terangkan semula, ternyata Khai Mun boleh menjawab dengan tepat. Puji saya, “Bagus! Jawapan kamu tepat.”
Wong pula cuba mencari helah dnegan membuat separuh sahaja latihan. Apabila dihantarnya buku latihan, saya berkata, “Latihan ini hanya separuh siap, Wong. Latihan perlu disiapkan sepenuhnya.” Saya tersenyum apabila saya pulangkan buku latihannya. Dia pula tersengih-sengih sambil mengambil semula buku latihannya..
Ada kalanya apabila pelajar yang melengah-lengahkan membuat latihan mula menulis, saya akan puji juga. Saya kata, “Bagus! Kamu sudah mula membuat latihan. Kalau kamu memberi tumpuan kepada latihan, pasti kamu dapat menyiapkan latihan pada masanya.”
Dalam erti kata lain,saya sentiasa mencari ruang untuk memuji pelajar supaya mereka terdorong untuk belajar dan menyiapkan latihan.

Walau bagaimanapun, pada hari ini, apabila ada pelajar yang masih main-main dan melengah-lengahkan masa sedangkan masa sudah hampir tamat, saya berkata pula, “Kalau kamu tidak siap dalam waktu saya, kamu boleh siapkan di kelas 5PD. sebab selepas ini saya akan ke kelas 5PD. “ Ketika itu saya  tersenyum sebab saya tahu mereka tidak mahu mengikut saya dan menyiapkan latihan di kelas lain. Jadi, mereka segera menyiapkan kerja pada masanya. Berjaya juga taktik yang saya gunakan.
Berdasarkan pengalaman saya, perubahan berlaku bukanlah secara mendadak. Jadi, kerja memuji ini saya lakukan secara berterusan. Saya sudah tolak perasaan jemu dan bosan sebab saya yakin teknik Mendorong Nabi Muhammad memang mukjizat. Walaupun masih ada pelajar cuba main-main dan liat membuat latihan namun dari sudut lain mereka gembira dan ketawa ketika belajar. Sesi usik mengusik dan gurau senda selalu berlaku dalam kelas. Mereka tetap menghormati saya dan tetap belajar dan membuat latihan yang diberi.
 

_________________

Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!