Pages

Saturday, July 14, 2012

Lewat masuk kelas


Saya memang rindu mahu menulis di blog ini namun disebabkan saya masih belum mendapat cara yang paling mudah dan ringkas untuk berkongsi pengalaman mengaplikasikan teknik Nabi, jadi sering sahaja terbantut hasrat untuk menulis di sini.
Pagi ini saya akan mencubanya. Ok. Saya ingin kongsikan pengalaman saya semalam.
Semalam, beberapa pelajar saya lambat masuk ke dalam kelas. Kelas saya selepas rehat. Saya agak terganggu kerana sebelum ini ada guru yang mengadu pelajara-pelajar saya ini masuk lewat ke dalam kelasnya. Jadi, apabila masih ada pelajar yang tidak masuk kelas, hati memang panas. Namun, saya menahan rasa marah itu.
Saya terus memulakan pengajaran dan pembelajaran tanpa menunggu mereka yang lewat. Saya tidak pula bising-bing dalam kelas. Saya tidak mahu pula membebel kepada pelajar-pelajar yang emmang ada dalam kelas. Namun, saya juga tidak mahu membebel kepada pelajar-pelajar yang lambat. Nabi Muhammad tidak membebel memarahi umatnya. Itu sebabnya, baginda disayangi umatnya.
Berbalik kepada cerita pelajar-pelajar tadi, saya berhenti sebentar daripada mengajar apabila sudah ada dua tiga orang pelajar baru sampai di muka pintu. Saya tunjukkan isyarat jari dan mereka berhenti di muka pintu. Saya mendapatkan mereka dan berkata, "Tunggu di situ. Tunggu sehingga kawan-kawan kamu yang masih belum sampai . Pastikan semua cukup, baru panggil saya."
Selepas itu, saya sambung mengajar.
Tidak beberapa lama kemudian, setelah saya pasti pelajar cukup, saya suruh mereka masuk ke dalam kelas dan berdiri di hadapan kelas. Saya tidak tegur kesalahan mereka lambat masuk ke dalam kelas. Saya hanya menerangkan peraturan sekolah.
Saya kata, "Rehat tamat jam 10.10 pagi. Kamu perlu masuk ke dalam kelas pada waktu itu."
Memang ada yang menjawab, "Cikgu, ramai orang di kantin. Makcik kantin pun lambat."
Namun, saya tidak mengendahkan kata-katanya. Sebaliknya saya terus menyatakan peraturan. Saya kata, "Saya mahu kamu berada dalam kelas selewat-lewatnya pun sebelum 10.20 pagi. Pastikan pada masa akan datang, kamu berada dalam kelas pada waktunya."
Selepas itu, saya minta mereka duduk di tempat masing-masing.

Sekadar perkongsian semula teknik Nabi Muhammad tidak tegur kesalahan ettapi menerangkan.

Pengenalan: Dalam amalan lazim, guru-guru percaya cara yang betul mendorong pelajar corot supaya tidak mengulangi kesalahan adalah dengan menegur kesalahan mereka atas alasan jika tidak ditegur akibatnya:

1. Pelajar itu tidak tahu dia telah melakukan kesalahan.
2. Pelajar itu menyangka kesalahan itu bukan kesalahan.
3. Pelajar akan berulang-ulang melakukan kesalahan itu.
4. Pelajar tidak takut melakukan kesalahan itu sebab dia tidak akan ditegur.
5. Pelajar tidak takut kepada guru, oleh itu guru tidak dapat mendisiplinkan pelajar.
6. Tingkah laku pelajar tidak dapat dikawal.

Lazimnya, apabila pelajar-pelajar kelas corot melakukan kesalahan mereka akan dimarahi secara terbuka di hadapan guru-guru lain ataupun pelajar-pelajar lain.

Teknik Nabi Muhammad: Dalam hadith di bawah ini, seorang lelaki melakukan beberapa  kesalahan secara terbuka di dalam masjid semasa orang-orang lain sedang sembahyang:

1. Lelaki itu datang lambat.
2. Dia bercakap kuat di dalam masjid.
3. Apabila ditanya dia tidak mengaku.

Nabi Muhammad sama sekali tidak menegur kesalahan lelaki itu dengan berkata:

"Orang lain sudah mula sembahyang tapi kamu baru sampai." (SALAH)
"Perbuatan kamu itu mengganggu orang lain sedang khusyuk sembahyang" (SALAH)
"Apabila saya tanya, kamu tidak menjawab." (SALAH)

Di sebalik sikap Nabi Muhammad yang tidak menegur kesalahan lelaki itu adalah prinsip 'menyelamatkan maruah orang yang melakukan kesalahan'. Apabila lelaki itu tidak ditegur oleh Nabi Muhammad dia tidak berasa  dirinya dimalukan di hadapan orang ramai, dengan itu maruahnya tidak  jatuh.

Hadith rujukan: '12 Malaikat'
Anas melaporkan, pada  suatu hari ada  seorang lelaki datang dan   dia   terus masuk barisan  orang-orang yang  sedang sembahyang, dengan    nafasnya  termengah-mengah  kerana  terkocoh-kocoh mengejar waktu    sembahyang,  sambil membaca   'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban    mubarakan fih.' Selepas   selesai sembahyang, Nabi Muhammad  bertanya,   “Siapakah  tadi yang   mengucapkan kata-kata itu?” Semua orang  yang ada   diam sahaja,  tidak   seorang pun menjawab. Nabi Muhammad  bertanya   lagi, “Siapakah  tadi yang   mengucapkan kata-kata itu?  Sebenarnya dia   tidak mengucapkan  sesuatu  yang  berdosa.” Lalu seorang  lelaki   berkata, “Tadi saya datang  dengan   termengah-mengah, lalu saya    ucapkan kata-kata itu.” Kemudian,  Nabi   Muhammad berkata, “Sungguh,    saya nampak 12 orang malaikat  berebut-rebut   mengangkat kata-kata    itu.” -- Hadith No. 271 dalam kitab Ringkasan  Sahih  Muslim

Nota: 'Alhamdulillahi hamdan kasiran thoyiban mubarakan fih.' bermakna  'Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, bagus, lagi penuh kebaikan.'(Sumber : Tim Hadith Psikologi)

Hal tentang lewat masuk ke dalam kelas terhenti di situ. Saya tidak membebel pun. Saya tidak buang masa saya atau masa pelajar saya. Saya mengajar seperti biasa. Hari itu , saya mengajar karangan. Ketika pelajar menulis karangan, saya bimbing mereka. Ramai yang angkat tangan bertanyakan itu dan ini. 2 jam saya berdiri dan berjalan mendapatkan pelajar yang mahukan bantuan dan bimbingan.Apabila pelajar buat dapat membina ayat dengan betul, saya puji. Ada yang menulis idea yang menarik, saya puji. Tiada pilih kasih. Tidak kira sama ada pelajar itu masuk ke kelas awal atau lambat.
Andai ada perkataan atau ayat yang salah, saya terus betulkan kesalahan. Saya tidak komen diri mereka tetapi saya betulkan kesilapan mereka.
Hal tentang lewat terus dilupakan. Perasaan marah yang saya pendam terus hilang sebaik sahaja saya mulakan P&P semula dengan semua pelajar berada dalam kelas. Saya yakin, pelajar saya tidak akan lewat lagi.

____________
Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!

1 comment:

  1. Hehe! Saya sungguh kagum dengan disiplin diri puan dalam mengamalkan teknik Nabi Muhammad.

    Luar biasa!... Luar biasa!....

    Kalau saya pun agaknya sudaj terkeluar juga sepatah dua kata menegur pelajar yang lambat. Tetapi puan tidak...

    Kagum!... Kagum!...

    ReplyDelete