Thursday, March 1, 2012

Apabila Guru Penolong sudah mahu rebut kuasa...

Semalam, saya sudah melantik beberapa Guru Penolong bagi membantu saya dalam P&P. Sekadar ulangan, Nabi Muhammad juga mempunyai ‘pembela (penolong’

Sahabat Nabi Muhammad yang bernama Jabir bin Abdillah melaporkan bahawa pada hari berlakunya Perang Khandaq, Nabi Muhammad telah mengumumkan panggilan perang, lalu Zubair bin Awam menyahut panggilan perang itu. Selepas itu, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan perang, lalu sekali lagi Zubair bin Awam menyahut panggilan itu. Kemudian, sekali lagi Nabi Muhammad menyeru panggilan perang, lalu sekali lagi Zubair bin Awam menyahut panggilan itu. Lalu Nabi Muhammad berkata, “Sesungguhnya, tiap-tiap nabi mempunyai pembela, dan pembela saya adalah Zubair.” - Hadith nombor 1643 dalam kitab Ringkasan Sohih Musliml
(Sumber dari PuanAinon Mohd.)

Jadi, bermulalah episod pelantikan Guru-guru Penolong ini. Boleh baca cerita mereka dalam entri lepas. Yang kurangnya ialah saya belum memberikan mereka akan anak-anak murid lagi. Mungkin esok atau lusa (sekolah ganti) barulah senarai lengkap nama anak murid akan saya tampal di papan kenyataan.
Yang istimewanya hari ini iaitu semasa saya masuk ke dalam kelas, Prof Naim sudah pun menjalankan tugasnya tanpa disuruh. Dia ialah Guru Penolong Motivasi.Yang dilakukannya dia mendorong kawan-kawannya supaya duduk dan bersedia di tempat masing-masing ketika saya melangkah masuk. Mana-mana kawannya yang masih belum sedia, pasti ditegurnya.
Ketika sesi P&P pula, apabila ada kawan-kawannya yang main-main , Prof akan tegur. Kalau saya bercakap dan kemudian terhenti kerana ada gangguan pelajar bercakap, Prof pula akan menegur mereka. Katanya, “Dengar cikgu nak terang tu!” Nada suara Prof memang garang (mengalahkan saya). Hehehe!
Dalam erti kata lain, Prof sudah menjalankan tugas sebagai Guru Penolong Motivasi yang mendorong rakan-rakan sekelasnya supaya fokus kepada pelajaran. Dia belum diberi anak murid, tetapi sudah mempunyai anak murid sendiri yang ramai sebab apabila ditegur, rakan-rakannya akur. Tidak pula mereka marah. Memang ada pengaruh Prof Naim ini.
Dr Syawal iaitu Guru Penolong Karangan lain pula ceritanya. Ketika saya berikan soalan karangan dan bertanya siapa yang tidak tahu bagaimana hendak menjawabnya, hampir separuh pelajar kelas 5PD angkat tangan. Dr Syawal tidak angkat tangan. Saya bertanya, “Dr Syawal tahu cara menjawab soalan ini?”
Jawab Dr Syawal, “Saya tahu cikgu.” Kemudian dia menerangkan cara-cara menjawab soalan yang bermula dengan menulis pendahuluan, isi dan penutup. Semua pelajar mendengar penjelasan beliau. Cewah! Sudah pandai dia memberi penerangan seperti dia pula yang menjadi cikgunya.
Ulas saya, “ Bagus Dr. Syawal. Kamu memang tahu cara menjawab soalan karangan. memang sesuai kamu dilantik menjadi Guru Penolong Karangan. Memang jawapan Dr Syawal itu tepat.”
Hari ini P&P memang berjalan lancar. Apabila mahu keluar kelas, saya terdengar kata-kata Prof Naim, “ Berdiri semua!” Selepas itu, Prof memandang Abang Chik dan  mengisyaratkan sesuatu. Selalunya, saya yang mengucapkan terima kasih sebelum keluar kelas namun kali ini Abang Chik pula yang mengetuai rakan-rakannya dalam memberikan ucapan terima kasih. Memang sesuailah sangat dia menjadi Guru Penolong Ucapan.
Budak-budak ini mahu rampas kuasa? Guru Penolong hanya mempunyai dua atau tiga orang anak murid. Ini mereka mahu bolot satu kelas. Adakah patut? Emmmm...bolot pun bolotlah. Cikgunya lagilah senang! Hehehe!





__________________

Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!

2 comments:

  1. Terkekek-kekek saya membaca kisah guru-guru penolong itu....

    Gaya puan menuliskan laporan ini lebih menarik daripada menonton Raja Lawak!

    Sangat menghiburkan. Semakin kami nampak karekter original pelajar-pelajar itu.

    Guru-guru yang membaca blog puan juga dapat banyak informasi bagaimana kelas akan berubah apabila mereka sendiri melantik guru penolong mereka nanti!

    Malam ini saya pasti tidur sambil tersengih....

    ReplyDelete
  2. Saya pun tergelak sorang-sorang hingga ditanya suami "kenapa?" :D

    ReplyDelete