Pages

Friday, February 24, 2012

Pesta Peralihan


Kalau hati tidak sabar dan kalau tidak suka budak-budak, janganlah mengajar budak-budak peralihan. Mahunya pengsan melayan kerenah mereka. Ada kes baling botol paling jauh(Hendak tengok videonya?Hehehe!Nanti saya fikirkan dahulu.), ada kes bertanding siapa boleh buat bunyi burung paling kuat ( rakaman bunyi burung buatan pun saya ada), ada kes siapa melukis kartun paling hebat di papan putih dan macam-macam ada.
Memang pening kepala dengan budak-budak ‘tadika’ ini. Pelajar-pelajar lain (pelajar menengah atas) mesti tersenyum setiap kali lalu di luar kelas KP. Melihat karenah kanak-kanak riang pasti membuatkan semua yang melihat geli hati. Cikgunya pula, rasa geram bercampur baur dengan rasa mahu ketawa. Yang buat ‘perangai’ tidak ditegur dengan kata-kata tetapi dijeling dengan mata. Hehehe! Sebenarnya jeling-jeling itu ganjaran negatif, tidak boleh dibuat. Saya pula jeling yang diiringi dengan senyum. Yang sedar kesilapan pula, membalas jeling-senyum saya dengan tersengih sampai ke telinga.
Namun, yang seronoknya semua pelajar  berebut-rebut mahu menjawab soalan dan berebut-rebut mahu menulis jawapan di papan putih. Letih juga mulut mengucapkan kata-kata pujian dan maklum balas positif kepada pelajar yang begitu teruja dan bersemangat. Semua pelajar Peralihan (kecuali Bean-dia didenda menyiapkan latihan bahasa Cina) menyiapkan latihan (dalam kekecohan ‘Pesta Peralihan’) dan menghantar buku latihan. Pelajar bising tidak berdosa, bukan? Hehehe!


Ini Pei Yee. Dia sedang menyambung dua ayat tunggal membentuk ayat majmuk gabungan. Di sebelahnya, Ah Hong yang sudah bersiap sedia dengan pemadam papan putih. Dia mahu menyakat kawannya. 

Ini Sin. Pelajar ketiga nakal di Kepas Peralihan. Yang tidak mahu duduk diam, dialah orangnya. Yang rajin menjawab soalan, dialah juga. Yang bersuara lantang ketika membaca, dialah lagi.


 Ini Ah Hong. Selepas dia menulis jawapan di papan putih, dia ambil kesempatan pula melukis kartun Ultraman. Yang memerhatikannya ialah Sin.

Ejaan Ultraman pun tidak betul! 

Tze Han yang kerjanya asyik hendak berdiri, turut teruja mencatat jawapan di papan putih.

 Sin memang sentiasa mengangkat tangan dan mahu mendominasi tugasan membina ayat. 


 Gambar kelabu asap sedikit!

  
Hati senang apabila pelajar tekun membuat latihan. 

Pelajar-pelajar saya memang pemalu. Susah sungguh hendak mengambil gambar mereka. Ini Mei Yee (yang menutup muka) dan di sebelahnya Chuah.

Inilah wajah ayu Mei Yee.

Wai Poh cuba melarikan diri apabila saya mahu mengambil gambarnya. 

 Chi Heng jenis spesies manusia yang tidak peduli dengan keadaan sekelilingnya. Kalau ada tsunami pun dia tidak sedar dan tidak peduli. Chi Heng memang pandai melukis namun suka membuat hal sendiri.

Hanya seorang pelajar sahaja yang suka gambarnya diambil iaitu JLo.

 Inilah Bean, pelajar paling corot akhlak dan akademiknya. Dia baru selesai sebahagian kerja Bahasa Cina. Dia berehat sebentar.


Selepas menulis beberapa ayat, Sin berehat dengan cara berlatih meniup menggunakan tangan dan menghasilkan bunyi burung.

Ah Hong mengajar Tamilselvam cara membuat bunyi burung. His! Sempat pula dia buat kerja lain ketika sedang membuat latihan membina ayat. Dia ambil peluang ketika saya memantau latihan yang dibuat oleh pelajar KP.

Macam-macam bunyi burung yang keluar. 

Sin sedang bertanya bagaimana Naga yang kecil ini boleh mengeluarkan bunyi burung yang paling kuat.

 Waktu saya melayan pertanyaan pelajar di belakang, Sin mengambil kesempatan untuk berdiri dan bercakap di hadapan. Jia Jun pun sibuk menemani Sin.

 Apabila saya bertanya, "Siapa mahu jawab soalan? Ramai yang angkat tangan tetapi waktu saya keluarkan telefon bimbit mahu mengambil gambar tangan Kar Hau hanya paras kepala. Jia Juan yang berada di belakangnya cepat-cepat menurunkan tangan. tangan di depan ialah tangan Sin.

p/s Nanti saya kongsi cerita bagaimana Bean tidak takut cikgu tetapi takut kepada ketua kelas. Sekali dimarahi Chi Cheng, sampai terduduk Bean. Nampak gayanya, perlu selalu memuji Chi Cheng untuk mendorongnya mendorong Bean pula. Emm...boleh aplikasi teknik melantik pelajar jadi penolong guru. Insyaallah!( Ustazah Khadijah pernah mengaplikasikannya)


______________________
Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!

2 comments:

  1. rasa bagai sedang berada di dalam kelas cikgu:D

    ReplyDelete
  2. Laporan ini sangat visual! Saya boleh bayangkan bagaimana keadaan dalam kelas ini... Hahaha...

    Anak-anak Cina pandai buat bunyi macam-macam burung.

    Laporan seperti ini sangat berguna kepada guru-guru lain yang belajar dari blog puan ini. Mereka akan meniru bagaimana puan bersikap toleransi kepada kerenah pelajar, namun pada waktu yang sama proses P & P berjalan sangat efektif....

    ReplyDelete