Friday, February 24, 2012

Pelajar tidak hadir sekolah dipuji


Saya agak risau apabila memikirkan terdapat pelajar 5PD yang tidak hadir sekolah. Bukanlah daripada kumpulan Prof Naim (Dulu ponteng sekarang rajin ke sekolah). Saya tidak mahu menyiasat punca mereka tidak hadir. Nabi Muhammad tidak menyiasat punca orang membuat kesalahan. Jadi, saya cuba untuk mengikut sunnah nabi walaupun hati meronta-ronta ingin tahu. Saya juga tidak menasihati mereka kerana mahu mengikut sunnah. Nabi tidak menegur atau menasihati pesalah. Aduhai! Apa hendak dibuat? Tidak mungkin mahu dibiar sahaja? Saya mahu mengaplikasi teknik Nabi Muhammad mendorong perubahan tingkah laku tanpa memberi nasihat namun masih belum dapat berbuat demikian (ilmu masih cetek dalam hal ini.)
Abdul Mu’ti yang mahu dipanggil Yang Berjaya, bakal mendapat Surat Amaran Pertama (saya ternampak surat itu di pejabat). Nampaknya dia Yang Berjaya Ponteng dan Yang Berjaya dikenal pasti tidak hadir sekolah tanpa sebab.
Tamilselvi yang hanya mahu dipanggil Tamil juga begitu. Rakan-rakannya tidak mampu memotivasikannya. Sudah beberapa kali juga tidak hadir. Semalam pun begitu.
Jamilah yang saya panggil Ila juga begitu. Frank juga tidak kecuali. Mereka macam biskut-kejap ada kejap hilang.
Belum ada hari yang semua pelajar 5PD hadir ke sekolah. Mereka berempat ini mendominasi carta Pelajar Tidak Hadir Lebih 3 hari 5PD. Pasti ada sahaja wakilnya. Tidak Yang Berjaya, Tamil tidak datang. Tidak Tamil, Ila pula yang tidak datang. Ila datang, Frank pula tidak datang. Pelik saya dibuatnya. Mereka adalah budak yang baik akhlaknya, baik tutur kata atau tingkah laku namun satu masalah besar mereka tidak datang sekolah tanpa sebab. Pelik juga semalam mereka berempat ini  hadir ke sekolah.
Sudah beberapa lama (dalam bulan Februari ini) saya memikirkan cara untuk menggalakkan mereka rajin datang ke sekolah tanpa perlu menasihati mereka (Nabi Muhammad tidak menasihati umatnya), atau menegur kesalahan mereka.
Alhamdulillah! Allah memberikan ilham kepada saya. Saya memilih teknik Nabi yang paling mudah diaplikasikan iaitu teknik memuji. Ok! teknik sudah dapat,cuma persoalannya adalah apakah kata-kata yang perlu saya ucapkan? Apakah kebaikan tindakan atau tingkah laku mereka?
Allah memberikan jalan penyelesaiannya pagi Khamis. Hal ini berlaku secara spontan tanpa perancangan skrip. Yang terlintas di fikiran saya ialah saya akan memuji pelajar-pelajar ini andai mereka hadir ke sekolah.
Pelajar yang mula-mula saya jumpa ialah Tamil. Dia baru masuk ke dalam kawasan sekolah apabila bertembung dengan saya. Dari jauh lagi saya mengukir senyum lebar kepada Tamil. Dia tersenyum juga. Sudah dua hari saya tidak berjumpa Tamil kerana dia tidak hadir sekolah.
Apabila dia hampir kepada saya, saya hulurkan tangan yang disambutnya. Saya berkata, “Tahniah Tamil! Kamu telah datang ke sekolah. Bagus! Saya gembira. Kalau kamu rajin datang ke sekolah, saya pasti kamu akan dapat mengikuti pelajaran dan seterusnya berjaya dalam SPM.”
Saya memuji menggunakan teknik Nabi iaitu cari kebaikan + puji dan menyatakan impaknya.
Kebaikan Tamil - Kamu telah datang sekolah.
Impak -
1) Saya gembira.
2)Kalau kamu rajin datang ke sekolah, saya pasti kamu akan dapat mengikuti pelajaran dan seterusnya berjaya dalam SPM
Saya bukan perli. Saya benar-benar ikhlas menyatakan perasaan saya. Namun jawapan Tamil membuatkan saya terkedu. Dengan wajah sedih Tamil berkata, “Maaf cikgu. Saya tidak hadir dua hari sebab bapa saudara saya meninggal.”
Saya mengetap bibir. Otak pula ligat mencari idea. Dalam keadaan begitu, otak tidak pula mahu berfikir. Akhirnya, spontan saya jawab, “Tidak mengapa. Bukan salah kamu. Apa-apapun saya memang suka kamu dapat hadir ke sekolah. Kamu pasti lulus apabila selalu datang sekolah dan belajar.”
Itu pujian pertama untuk pelajar tidak hadir sekolah (rupanya dua hari itu Tamil tidak ponteng namun sebelumnya dia memang sengaja tidak hadir)

Tamilselvi mempunyai akhlak yang baik namun dia malas ke sekolah. Dia tergolong dalam kalangan pelajar Kritikal BM

Selepas itu, dalam kelas saya memuji Yang Berjaya pula. Semalam dia tidak hadir ke sekolah.
Saya puji Yang Berjaya dengan kata-kata, “Bagus! Kamu hadir sekolah pada hari ini. Saya suka. Kalau kamu selalu hadir sekolah, pasti kamu berjaya dalam SPM.” (Dialognya lebih kurang sama dengan dialog pada awal pagi ketika memuji Tamil.
Yang Berjaya tersenyum kelat. Agaknya, dia sangka saya perli dirinya. Jadi, saya puji sekali lagi. Sekadar meyakinkan Yang Berjaya bahawa saya memang memuji tindakannya yang datang ke sekolah.
Selepas itu, saya cuba menggunakan teknik nabi Muhammad mendorong peniaga jahat  dengan menggunakan soalan apakah dan tidakkah? Sebenarnya saya terlupa akan dialog yang diajarkan oleh Tuan Ahmad tempohari. Ingatan sudah semakin kurang. Jadi, saya ‘main cakap’. Yang penting ialah ada penggunaan apakah dan tidakkah. Sepatutnya, saya sediakan skrip ucapannya dahulu seperti masa mula-mula saya cuba mengaplikasi sesuatu teknik yang belum pernah saya lakukan.
Yang saya ucap kepada Yang Berjaya, “Apakah yang kamu buat di rumah semalam?”
Dia menjawab, “ Tidak ada apa-apa, cikgu.”
Saya balas kembali, “Tidakkah rugi tidak ke sekolah?”
Yang Berjaya hanya diam. Akhirnya, saya berkata, “ Yang Berjaya dalam SPM ialah mereka yang rajin datang sekolah.”

Yang Berjaya nampak monyok selepas saya berbual-bual dengannya

Sebenarnya, saya belum berjaya menggunakan pinsip dalam menggunakan teknik soalan apakah dan tidakkah. Teknik Nabi Muhammad itu mempunyai prinsip menukarkan pertanyaan mengapakah kepada apakah. Kemudian, disusuli dengan pertanyaan tidakkah (berkaitan kesalahan) dan diakhiri dengan ancaman (hukuman terhadap kesalahan tersebut)
Dalam perbincangan dalam FB tempohari Tuan Ahmad menyatakan bahawa,
Mungkin boleh ucap begini apabila pelajar menjawab, "Saya tidak datang kerana saya tidak suka cikgu itu mengajar." Kita mungkin boleh kata kepadanya, "Tidakkan kamu tidak datang ke sekolah itu kerana kamu tidak mahu menyiapkan kerja sekolah dan mendengar guru mengajar. Sesiapa yang tidak mahu belajar, dia tidak akan berjaya dalam hidupnya."


Beliau juga maklumkan bahawa , “
Ayat tidakkah itu adalah bukan pertanyaan, tetapi kenyataan menunjukkan kesalahan pelajar itu yang memang terang-terang dia buat. Jawapan sebelumnya itu hanyalah alasan dia sahaja. Seperti ke peniaga itu, dia memang sengaja letak buah kering di atas, buah basah di bawah. Tapi dia jawab, semalam hujan. Kalau hujan, tentu basah di atas. Memang jelas itu adalah alasan untuk elak dimarahi.


Berbalik kepada cerita pelajar tidak ahdir, Ila tidak dapat hadir hari Rabu tetapi datang pula pada hari Khamis. Saya tidak sempat memujinya di kelas. Sewaktu Ila menemani Miera berjumpa saya di bilik saya, saya hulurkan tanya kepadanya sambil tersenyum. Walaupun dia tidak terpinga-pinga namun disambut juga huluran tangan saya. Ketika itu saya memujinya. Saya berkata, ““Tahniah Ila! Kamu telah datang ke sekolah. Bagus! Saya gembira. Kalau kamu rajin datang ke sekolah, saya pasti kamu akan dapat mengikuti pelajaran dan seterusnya berjaya dalam SPM.” (Kata-kata ucapan itu seperti juga kata-kata ucapan memuji Tamil pada awal pagi.)
Respon Ila?
Balasnya, “Cikgu perli saya, ya!”
Ah! Rupanya Ila terasa seperti diperli. Jawapan Ila meyakinkan saya bahawa Ila memang ponteng sekolah pada hari Rabu.
Saya berkata lagi, “Saya tidak perli kamu. Saya memang gembira kamu hadir ke sekolah pada hari ini. Tindakan kamu hadir ke sekolah pada hari ini memang wajar dipuji. Saya yakin kamu akan berjaya jika kamu rajin datang ke sekolah.”
Hari itu bukan sahaja Ila datang ke sekolah, Ila juga turut hadir kelas tambahan Bahasa Melayu yang diadakan selepas waktu akhir persekolahan. Sudah ada nampak impak kepada penggunaan pujian mengikut teknik Nabi Muhammad.

Ila orangnya manis dan berbudi bahasa tetapi ada kalanya liat juga hendak ke sekolah

Dalam hal ini, saya akan menggunakan teknik memuji pelajar yang tidak hadir sekolah setiap kali dia saya nampak dia hadir sekolah. Jika sebenarnya dia ponteng sekolah, dia boleh didorong dengan memuji tindakannya yang hadir ke sekolah. Jadi, saya akan terus menggunakan teknik memuji Nabi Muhammad ini. Dalam pada itu saya akan cuba juga menggunakan teknik Nabi Muhammad tidak menggunakan pertanyaan mengapakah apabila berkomunikasi dengan individu yang melakukan kesalahan.


_____________________

Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!

4 comments:

  1. Laporan puan kali ini memberi gambaran yang sangat jelas kesukaran yang berlaku apabila puan cuba mengaplikasikan teknik memuji ke atas pelajar-pelajar yang tegar ponteng sekolah.

    Gambaran kesukaran yang detail begini sangat berguna kepada guru-guru lain yang membaca blog puan dan sedang mencontohi eksperimen-eksperimen yang puan jalankan.

    Meskipun sekali pandang laporan tentang kesukaran boleh menjatuhkan semangat seronok membaca kisah-kisah kejayaan puan, namun sebenarnya laporan puan kali ini sangat tinggi nilai praktikalnya. Ia berfungsi sebagai penyuluh kepada guru-guru yang baru sahaja mahu mencuba memuji pelajar mereka.

    ReplyDelete
  2. Puan, saya sangat gembira dapat bertemu dengan blog yang sangat bermanfaat ini. Saya budak baru belajar, semoga Allah merahmati Puan dan rakan-rakan atas perkongsian ini. Saya selalunya tidak dapat aplikasikan segala teori yang dibaca daripada buku, tetapi daripada perkongsian Puan ini, sangat jelas dan praktikal untuk saya cuba. Tahniah Puan! :)

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum cikgu . Saya merupakan salah seorg pelajar yang ditempatkan dalam kelas cemerlang , tapi saya kerap tidak hadir kerana merasa dipinggir di dalam kelas kerana saya seorang yang tidak seberapa pintar ,tetapi diberi harapan tinggi untuk berjaya dalam pmr , situasi di dalam kelas saya duduk di belakang berseorangan ,dan tidak dibantu rakan ketika tidak memahami sesuatu yang baru diajar guru berikutan tidak sepintar mereka dan juga sentiasa berseorangan, bagaimana untuk selesaikan masalah ini ... dan itu membuatkan saya tidak suka datang ke sekolah dan memilih untuk aktif dalam bidang sukan dan mengetepikan pelajaran .

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam. Maaf, saya terlepas pandang akan post dan tdiak membalas komen.
      Anonymous, saya yakin kamu merupakan pelajar yang berpotensi kerana itulah kamu diberi harapan tinggi untuk berjaya dalam pmr.
      Yakin kepada diri sendiri. Kemungkinan bantuan daripada kawan doleh diminta selepas kelas.
      Sebaiknya, kamu berjumpa kaunselor sekolah supya kamu mendapat jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah ini.
      Jangan mengalah sebelum berjuang dan jangan berputus asa sebelum tiba masanya.

      Delete