Friday, February 24, 2012

Impak memuji pelajar tidak hadir sekolah


Seperti biasa, pada hari Jumaat, saya akan masuk ke kelas 5PD pada waktu akhir. Hari ini terasa lebih letih daripada biasa disebabkan karenah pelajar-pelajar KP yang luar biasa kenakalannya. (Baca entri tersebut.)
Entri sebelum ini saya kongsikan kisah saya memuji  pelajar-pelajar yang tidak hadir sekolah tanpa sebab. Apabila mereka hadir sekolah,  tindakan mereka itu saya puji. Ganjaran sosial yang saya beri ialah berjabat tangan (hanya dengan Tamil dan Ila sebab mereka perempuan)
Saya tahu biasanya guru akan bertanya mengapa dan kenapa pelajar tidak hadir. Kadang kala guru mendapat jawapan tetapi ada kalanya  mereka hanya mendiamkan diri. Saya pula tidak bertanya punca mereka tidak hadir ke sekolah namun saya memuji mereka apabila mereka hadir. Memanglah waktu mendengar pujian, memek muka nampak kehairanan. Mana tidaknya. Kalau sudah namanya ponteng, sah-sah kena marah dengan cikgu. Ini terbalik. Yang tidak hadir sekolah kena puji. Pelik bin ajaib.
Kesannya?
Alhamdulillah! Semalam dipuji, hari ini datang lagi. Ketiga-tiga pelajar yang dipuji semalam iaitu Ila, Yang Berjaya dan Tamil datang ke sekolah hari ini. Sekali lagi, saya puji mereka. Dialognya seperti semalam.
Respon mereka?
Ila tersengih sambil menggenggam tangan saya berkata, “Tahniah lagi?”
Selepas itu saya jawab, “Ya. Saya suka kamu hadir sekolah. Kamu memang patut diucap tahniah sebab berjaya hadir ke sekolah.
Tamil pula lain pula kata-katanya. Kata Tamil, “Ya cikgu. Saya datang!”
Abdul Mu’ti (Yang Berjaya) pula membalas, “Ya cikgu. Saya datang. Kelas tambahan pun saya datang.”
Balas saya, “Bagus!Bagus! Saya suka!”
Saya percaya dengan kata-kata Yang Berjaya dan tidak salah saya menaruh kepercayaan. Yang Berjaya hadir ke kelas tambahan, siap berbaju Melayu lagi.
Apabila dia melangkah masuk, kawan-kawannya bersorak. Kata Dr Syawal, “Mu’ti, ini pertama kali kamu datang.” Kata-kata itu diiringi oleh  ketawa rakan-rakan.
Saya pula tersenyum lebar. “Bagus!Bagus! Tindakan kamu hadir kelas tambahan ini menggembirakan saya. Syabas!”
Yang Berjaya tersipu-sipu malu.
Hari Sabtu sewaktu ada sekolah ganti, saya tidak dapat menutup kegembiraan saya. Di tapak perhimpunan Tamil dan kawan-kawannya melambai-lambai tangan kepada saya. Tamil tersenyum riang. katanya, "Cikgu, saya datang."
Saya berjabat dengan Tamil, Hemasri dan Janu. Mereka tahu apa yang berlaku sedangkan pelajar-pelajar lain kehairanan melihat gelagat mereka bertiga. Kata-kata pujain saya kuatkan supaya pelajar yang lain turut mendengarnya. Hal ini supaya dapat menaikkan self-esteem pelajar yang dipuji. (Salah satu prinsip memuji cara Nabi Muhammad ialah tindakan yang dilakukan secara terbuka maka pujian harus diberi secara terbuka. Dalam hal ini pelajar saya hadir sekolah dan berada di tapak perhimpunan.)
Selepas itu, ada suara lain yang memanggil saya. Saya toleh ke sebelah kiri saya. Rupanya Ila memanggil saya.Dia menunjukkan isyarat pistol ke mukanya. Saya tahu dia hendak menunjukkan bahawa dia hadir ke sekolah. Saya menghampirinya dan menghulurkan tangan dan saya peluk Ila. Punyalah saya terharu. Saya hampir menitiskan air mata.
Dengan wajah yang gembira, saya berkata,"Bagus! kamu datang ke sekolah tatkala ramai pelajar tidak mahu hadir sekolah hari pada hari Sabtu. Kamu menggembirakan saya."
Rupanya tindakan saya itu menimbulkan rasa cemburu seorang pelajar perempuan (Namanya Ya, yang suka sangat memeluk saya). Dia menjeling. Lantas saya pergi kepadanya dan memeluknya juga.  
Katanya, "Cikgu, mana boleh orang lain peluk cikgu."
Saya ketawa.







_________

Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!

11 comments:

  1. Saya pun mengikut teknik cikgu. Saya memuji murid yang sudah lama tidak hadir ke sekolah. hari ini dia hadir. Tanpa saya tanya mengapa, dia sendiri yang memberitahu sebab dia tidak hadir.

    ReplyDelete
  2. Saya sangat terhibur membaca laporan puan ini.

    Baru kutahu ada 2 kesan berlaku apabila pujian diterima oleh si tegar-ponteng:

    1. Kesan awal - mereka berasa bagai diperli oleh guru

    2. Kesan kedua - mereka terdorong datang sekolah, dan datang kelas tambahan.

    Dua perkara ini perlu diceritakan apabila menyampaikan kursus kepada guru-guru lain. Ini supaya mereka awal-awal sudah tahu perkara itu akan berlaku, dan ia adalah normal, dan mereka perlu terus memberikan pujian.

    ReplyDelete
  3. Puan, saya sukakan adegan peluk-peluk itu. Sungguh bermakna kerana biasanya guru akan memeluk pelajar yang pintar dan cemerlang sahaja. Kalau saya pelajar puan, pasti saat itu paling saya ingati dan puan akan menjadi guru kesayangan saya. Terasa mahu kembali remaja dan berada di sekolah puan.

    ReplyDelete
  4. Terima kasih ustazah-engineer. Saya terharu dengan kata-kata ustazah itu. Ustazah mendorong saya untuk teruskan usaha mendidik anak-anak ini
    Semoga ustazah juga disayangi pelajar!

    ReplyDelete
  5. Allahu Akbar....

    Selepas membaca episod tambahan ini, maka pedih rasa kelopak mataku....

    ReplyDelete
  6. Tahniah cikgu Khairulaniza. Memanggil pelajar dengan cara menyebut nama sebenarnya dengan nada yang sopan akan memikat mereka. Sesiapa sahaja akan suka jika namanya disebut dengan elok. Apa lagi jika kita tidak mengungkit kesalahannya di tengah ramai. Kita gunakan prinsip "Puji ramai-ramai, tegur seorang-seorang." Maksudnya pujilah apa2 yang pelajar buat baik walau sedikit di tengah ramai, mereka rasa diiktiraf. Kakau nak tegur pangil cakap empat mata, jangan sekali-kali di tengah ramai,"
    Terima kasih, teruskan.

    ReplyDelete
  7. Tuan Yahya Zainal Abidin, terima kasih atas komen yang diberi.
    Untuk makluman tuan, saya tidak memanggil nama sebenar anak didik semasa proses P&P. Hal ini kerana saya cuba mengaplikasi sunnah nabi iaitu memanggil panggilan yang disukai oleh empunya diri.Mereka yang memilih nama-nama panggilan tersebut. Tujuan tindakan saya supaya pelajar suka dan gembira. Mereka juga akan suka kepada cikgu mereka. melalui cara ini barulah mudah untuk mendorong mereka dengan menggunakan teknik-teknik mendorong nabi Muhammad. alhamdulillah! Setakat dua bulan ini, saya memperoleh impak positif.
    Terima kasih tuan atas informasi yang diberi. Saya memang setuju dengan tuan. Namun ada kalanya guru-guru terlupa. Kerana sikap negatif segelintir pelajar, ada guru yang meluahkan rasa marahnya kepada mereka di tapak perhimpunan. Jadi, yang tidak bersalah turut mendengarnya, seperti mereka juga yang berbuat salah.
    Nabi Muhammad memang mempunyai akhlak yang mulia. Baginda tidak menajtuhkan maruah orang bersalah.

    ReplyDelete
  8. Saya rasa sangat gembira melihat telatah mereka. Bagai anak murid sendiri. Tahniah Kakza... mungkin kalau saya dapat tahu teknik ini sejak grad dulu, saya pun jatuh cinta dengan kerjaya guru di sekolah :)

    Ummu Abbas
    http://sayangislam.com

    ReplyDelete
  9. hehe... alhamdulillah. 1st time berjaya hantar komen di blog Kakza.

    ReplyDelete
  10. Hahaha! Dik Nur, baru dapat post komen ya.
    Ya! Hati semakin sayang kepada mereka

    ReplyDelete
  11. Salam,
    Wah bagusnya blog ni..
    saya guru, menghadapi mslh pelajar yg tidak suka belajar, suka ponteng, tak buat persediaan spt tak bawa buku/pen dsb ke sekolah, pelajar suka bising/menyampuk, menjawab yg tak munasabah dgn tujuan berlawak supaya kwn2 kelas tergelak dll.

    Kami mmg pening dgn situasi ini. Sampai bila ya nak berakhir, takkanlah sampai saya pencen saya akan berhadapan dgn mslh ini.

    Jadi saya nak cuba cabar diri saya, buat apa2 yg cikgu buat kpd pelajar2 cikgu..

    Saya sedih sebenarnya dan tak mahu situasi ini berlanjutan. Akhir2 ini saya sering berdoa utk menjadi 'murabbi', bukan setakat guru. Alhamdulillah peringkat awal Allah perkenankan krn saya dipertemukan dgn blog ini...

    syukur alhamdulillah.

    ReplyDelete