Sunday, February 26, 2012

Ganjaran material pertama untuk tahun ini


        Pada hari Sabtu (semalam), saya membuat satu aktiviti yang mudah dan santai untuk pelajar-pelajar 5PD. Saya meminta mereka mencari maklumat di Galeri Ilmu (laluan bacaan). Sebagai ganjaran, bukan sahaja saya berikan ganjaran sosial iaitu pujian dan kata-kata positif namun saya juga memberikan ganjaran material. Walau hanya sebatang pen, sebotol gam kecil dan sebuah gunting kecil, namun anak-anak ini terlalu gembira. 
        Semua hadiah itu dibeli daripada koperasi sekolah. Tidak pula dibungkus atau dibalut dengan kertas hadiah. Ini kali pertama saya memberikan ganjaran bentuk material iaitu hadiah. Selama ini, saya banyak memberikan ganjaran sosial seperti pujian atau kata-kata yang baik baik sebelum, semasa atau selepas aktiviti dijalankan oleh pelajar.
         Menurut Puan Ainon, Nabi Muhammad memang banyak memberikan ganjaran positif untuk mendorong umatnya.Dalam entri yang lepas, saya ada menerangkan bahawa :_

Ganjaran positif Nabi Muhammad beri adalah seperti mendoakan orang yang bersin dan mengucapkan Alhamdulillah). Nabi Muhammad banyak memberikan ganjaran sosial @ sosial rewards. Tindakan seperti senyum dan anggukan juga merupakan ganjaran sosial. Ganjaran sosial ini menyebabkan maruah orang lain diselamatkan dan kesannya pada emosi orang tersebut (kesan yang lebih mendalam). Ganjaran positif ini boleh diberikan berkali-kali. Ganjaran positif juga boleh diberikan dalam bentuk ganjaran material@kebendaan seperti hadiah tetapi tidak boleh diberikan berkali-kali...
(Dalam entri yang lepas-lepas, saya ada kongsikan tentang teknik memberikan ganjaran.)


Biarpun nabi Muhammad selalu memberikan ganjaran berbentuk sosial namun Nabi Muhammad juga  memberikan ganjaran material, malah kepada lelaki yang berdosa pun diberikan hadiah sebakul kurma. 
  
Menurut penerangan Pn Ainon, ada -

Beberapa panduan asas cara memberikan ganjaran material gaya Nabi Muhammad:

1. Ganjaran diberikan selepas prestasi kerja mereka meningkat naik, yakni ada kemajuan.

2. Semua orang dalam kumpulan menerima ganjaran material masing-masing, yakni tidak ada yang tidak menerima ganjaran material.

3. Nabi tidak mengucapkan janji beliau akan memberi hadiah sebelum kerja itu dilakukan.



     Sebenarnya ada juga garis kerisauan dalam hati tentang hadiah yang diberi. Saya hanya menghadiahkan  pen, gam dan gunting. Pada anggapan saya ketiga-tiga alat tulis ini memang berguna kepada pelajar-pelajar saya. Dalam kelas BM, saya banyak mengedarkan bahan atau aktiviti dalam bentuk helaian kertas yang perlu digunting dan ditampal di dalam buku. Ramai pelajar yang tiada ketiga-tiga alat tersebut walaupun sebenarnya ada keperluan bagi mereka menyediakannya.
     Kumpulan  Kreatif yang pertama menyiapkan tugasan. Jadi, mereka diberi keistimewaan untuk memilih pen, gam dan gunting. Mereka dapat ketiga-tiganya sebab mereka berhak. Kumpulan yang kedua ialah Rawo Pokek dan Adidas . Mereka juga diberi hadiah yang sama. Kumpulan Acaferra dan  Kumpulan VMB mendapat ketiga. Jadi, mereka hanya diberi pilihan dua alatan tersebut.  
      Kumpulan VMB memang berfikir dengan bijak. Disebabkan mereka bertiga dan mereka mendapat dua barang seorang, maka mereka berpakat untuk memilih barang yang berlainan. Jadinya, kumpulan VMB mendapat juga ketiga-tiga jenis barang hasil perkongsian mereka.
    Saya gembira kerana anak-anak didik saya teruja dan gembira menerima hadiah. Nampaknya ganjaran material bukan dilihat dari segi nilainya oleh anak-anak ini  Dua kali Haji Shakir bertanya, "Cikgu, betulkah cikgu bagi saya pen ini?" Saya jawab, "Betul!" 
     Torees yang juga mendapat sebatang pen tersengih melihat kawannya. Haji Shakir tersengih!
    Apabila saya minta mereka bergambar dengan menunjukkan hadiah yang mereka terima, dengan rela hati mereka bersetuju. Lihatlah wajah-wajah ceria mereka. Anak-anak didik yang sudah 17 tahun pun suka menerima hadiah, apatah lagi anak-anak kecil.
Lihatlah betapa gembirannya wajah Hj shakir dan Torres Jr.

Kumpulan VMB hanya mendapat dua hadiah setiap seorang. Mereka memilih untuk memiliki dua batang pen, dua gam dan dua gunting.

Kumpulan Gadis Osthu hanya mendapat sebatang pen seorang.

Kumpulan kreatif mendapat ketiga-tiga jenis barang.

_____________

Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!

2 comments:

  1. Nabi Muhammad ada memberi ganjaran material. Sebagai contoh, selepas perang Nabi Muhammad membahagi-bahagikan harta rampasan perang kepada anggota tenteranya.

    Beberapa panduan memberikan ganjaran sosial cara Nabi Muhammad.

    1. Ganjaran diberikan selepas prestasi kerja mereka meningkat naik, yakni ada kemajuan.

    2. Semua orang dalam kumpulan menerima ganjaran material masing-masing, yakni tidak ada yang tidak menerima ganjaran material.

    3. Nabi tidak mengucapkan janji akan memberi hadiah sebelum kerja dilakukan.

    Berdasarkan apa yang puan lakukan itu, ganjaran yang puan berikan itu menepati ciri-ciri ganjaran Nabi Muhammad.

    ReplyDelete
  2. bayangkan betapa berbunga-bunganya hati sang pelajar, dan pastinya kesan positifnya mendorong mereka lebih cintakan ilmu..
    tahniah cikgu

    ReplyDelete