Monday, February 20, 2012

Erti membaca bagi pelajar 5SV

    Oleh sebab isi pelajaran hari ini sudah mencapai objektifnya dan kebetulan pula hanya 8 orang pelajar 5SV yang hadir ke sekolah lantaran ramai yang tidak hadir kerana hari hujan (kebanyakan mereka berjalan kaki atau menunggang basikal atau motosikal), saya bawa mereka ke Makmal Bahasa (kerana buku-buku sumbangan Pn Ainon masih ada di situ) untuk memberi peluang mereka membaca buku-buku baru.
   Daripada 8 orang pelajar hanya dua orang pelajar yang kurang berminat untuk memilih buku cerita yang saya letakkan di atas meja. Hanya apabila saya suruh, barulah Mun Choon dan Leon mengambil buku seorang sebuah.
     Mun Choon hanya membelek buku sehelai demi sehelai.Mungkin terfikir di mindanya, bagaimana hendak membaca buku andai dia tidak tahu membaca. Sebenarnya Mun Choon telah dikenal pasti sebagai pelajar tegar Buta 2M . Timbul juga rasa simpati padanya. Saya harap Klinik BM yang akan dilaksanakan (dengan kerjasama daripada 7 orang guru Bahasa Melayu) akan dapat membantu pelajar seperti Mun Choon.
    Lain pula halnya dengan Vicky dan Kiree. Mereka berdua membaca kuat buku cerita yang berada di tangan. Semasa saya mendekati Viknesh, dia memberhentikan bacaannya. Apabila saya minta dia membaca kuat, dia agak malu-malu. Saya kata, "Tidak mengapa. Saya akan bantu kamu membaca."
     Saya lupa untuk memuji tindakan Vicky dan Kiree atas usaha mereka mahu membaca kuat buku cerita yang mereka pinjam itu walaupun tidak disuruh. Sepatutnya juga saya mengikut teknik Nabi Muhammad iaitu dengan memulai kata-kata dengan, "Saya kagum..." kerana Vicky dan Kiree membuat sesuatu kebaikan tanpa disuruh.
      Berbalik kepada cerita tadi, di depan saya, Vicky pun membaca kuat. Ternyata, bacaan Vicky kurang lancar dan ada perkataan yang salah disebutnya. Walau bagaimanapun, saya tetap puji Vicky. Kata saya, "Kamu boleh membaca. Kalau kamu rajin berlatih membaca, bukan sahaja membaca dalam hati tetapi membaca kuat seperti tadi, kamu pasti akan dapat membaca dengan lancar."
   Kiree boleh membaca jauh lebih baik daripada Vicky. Ada dua perkataan yang sukar untuk dibacanya iaitu falsafah dan philosophy. 
  Seperti juga Vicky, saya juga memuji Kiree. Kata saya, "Kiree, kamu sudah boleh membaca cuma ada perkataan sukar untuk disebut. Kalau kamu selalu membuat latihan membaca, pasti kamu dapat membaca dengan lancar. Teruskan berusaha. "
    Kiree mengangguk-angguk kepala mendengar kata-kata saya.
  Selepas Kiree, saya minta pula Leon membaca kuat buku yang dipegangnya. Leon menolak dan menggeleng-gelengkan kepala. Kemudian saya berkata, "Leon kamu cuba baca. Kalau tidak betul, tidak mengapa. Saya tolong betulkan."
    Akhirnya, Leon membaca kuat buku itu. Bacaannya tidak lancar dan tersekat-sekat namun saya tetap puji."Siapa kata kamu tidak boleh membaca. Kamu boleh membaca. Kalau kamu selalu berlatih membaca, kamu pasti boleh membaca dengan lancar." Disebabkan pujian dibuat secara individu, intipati kata-kata pujian lebih kurang sama sahaja.
    Pelajar yang terakhir yang sempat saya dengar bacaannya ialah Fadli. Fadli ialah anak mamak. Dia faham bahasa Tamil tetapi menurut Cikgu Lingam, Fadli tidak mahu bercakap bahasa Tamil.Kata saya kepada Fadli,"Kamu beruntung kerana faham bahasa Tamil. Kamu mempunyai kelebihan jika kamu juga pandai bercakap dalam bahasa Tamil."
    Saya kata kepada Fadli," Sekarang saya mahu mendengar kamu membaca." 
  Saya amat bersimpati dengan Fadli kerana dia juga tidak lancar membaca. Kiree dan Vicky boleh membaca jauh lebih baik daripada Fadli. Namun untuk mendorong Fadli, saya puji juga. Kata saya, "Kamu memang boleh membaca. Saya tahu ada perkataan yang susah untuk dibaca. Kalau kamu selalu  membaca,terutama membaca kuat (supaya kamu boleh dengar), kamu pasti lancar membaca. Apabila membaca, kalau perkataan itu nampak susah, cuba eja perkataan itu.Tidak mengapa. Yang penting kita mahu belajar. Misalnya perkataan ini, eja m-e-n, men, z-i-a, zia, r-a, ra, h-i, hi, menziarahi. Jika kamu selalu buat latihan, bacaan kamu pasti lancar."
      Ketika saya mengajar Fadli mengeja, dia turut sama mengikut saya mengeja. Dia juga sentiasa mengiya-iyakan kata-kata saya.
       Saya dapati salah satu sebab pelajar corot tidak suka membaca kerana mereka tidak tahu membaca dan mereka tiada usaha untuk berlatih membaca. Membaca kuat juga akan menjatuhkan self-esteem mereka.Saya pasti, andai saya kritik mereka, pasti self-esteem mereka terus jatuh dan mereka terus hilang minat untuk membaca buku. Namun, dengan mengaplikasi teknik Nabi Muhammad dan dengan adanya Klinik BM, insyaallah mereka ini akan dapat dibantu dan mereka terdorong untuk meningkatkan penguasaan mereka dalam bacaan. Semoga Allah permudahkan segalanya.

Mun Choon hanya menatap tulisan yang dicetak dalam buku cerita yang dipegangnya.

Fadli tidak lancar membaca. Ada perkataan yang sukar baginya, diteka sahaja perkataan tersebut, kadang kala jauh 'lari'nya perkataan yang terctat dengan perkataan yang disebutnya.

Fauzan boleh membaca dengan baik namun dia masih mempunyai sikap malas.Dia perlu didorong dan dipujuk selalu.

Kiree asyik membaca kuat buku cerita yang dipinjam daripada saya. Dia begitu bersemangat membaca.

Vicky begitu tekun membaca buku cerita. Dia membaca dengan suara yang kuat.

Leon membaca tidak lancar dan masih merangkak-rangkak. Namun dia berani juga untuk membaca apabila diminta berbuat demikian.



______________

Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!

5 comments:

  1. Berkali-kali saya merenung foto-foto itu....

    ReplyDelete
  2. Hanya seorang (fauzan) yang berani memandang saya sebab dia boleh membaca.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya mereka ada usaha untuk membaca.

      Adakah mereka akan lebih bersemangat membaca jika mereka diberikan komik- M?

      Saya ada seorang rakan sekerja berbangsa India yang baru balik dari UK. Menurutnya, anaknya yang berusia 9 tahun tidak mahir membaca Bahasa Melayu. Beliau risau kerana baginya BM adalah mata pelajaran penting. Saya memberinya pinjam komik M anak saya untuk dibaca oleh anaknya.

      Belum ada apa-apa maklum balas lagi daripadanya. Saya mencadangkannya beliau membaca bersama anaknya sebagai aktiviti bersama secara santai.

      Apapun, saya doakan Cikgu Aniza diberikan kekuatan untuk terus menabur bakti.

      Delete
  3. Alangkah bagusnya kalau semua guru-guru di Malaysia ini adalah seperti cikgu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ramai lagi cikgu seperti saya cuma kita tidak tahu sahaja. namun teknik mendorong cara Nabi Muhammad masih belum diketahui umum. Semoga cepat-cepat disebarkan

      Delete