Saturday, February 18, 2012

Dipantau oleh 'nazir luar'


Saya berdebar-debar menunggu kehadiran Dr Wan. Semalam , Pn Ainon juga memberitahu bahawa beliau juga akan melawat pelajar 5PD. Ketika mereka tiba di sekolah, saya dalam kelas Peralihan. Pelajar-pelajar saya sedang membuat latihan. Cikgu Zul tolong menggantikan tempat saya sementara saya menyambut kehadiran kedua-dua ‘nazir’ luar ini.
Saya amat terkejut kerana Pn Ainon dan Dr Wan membawa bersama-sama mereka buku dalam jumlah yang banyak. Kata Pn Ainon, buku tersebut disumbangkan kepada sekolah. Alhamdulillah, saya amat bersyujur. Saya lagi terharu kerana Pn Ainon menghadiahkan saya sebuah buku (yang sudah lama saya ingin membelinya-macam tahu-tahu sahaja Pn Ainon keinginan saya).

Buku masakan paling laris dalam pasaran

Dr Wan pula membawa buah tangan yang juga istimewa. Disebabkan selepas Dr Wan dan Pn Ainon balik, saya terus pergi ke kelas 5PD kerana ada kelas tambahan untuk Kumpulan Gadis M. Di sana mereka bertanya tentang buah tangan yang diberikan oleh Dr Wan. kami sama-sama lihat isi dalam beg kertas tersebut. Mereka nampak gembira melihatkan isi dalamnya. Saya juga menyembur sedikit minyak wangi di pergelangan tangan mereka. 
Kata Ah Chiew dalam bahasa pasarnya, "Cikgu, saya mau itu. saya mau beli. Saya suka bau itu. Mana beli?"
Dalam bahasa yang betul, Ah Chiew berkata, "Cikgu, saya mahu minyak wangi itu. Saya mahu membelinya. Saya suka akan bau minyak wangi tersebut. Di mana Dr Wan beli minyak wangi itu?"


Tentunya saya gembira. Tambahan lagi apabila melihatkan anak-anak ddik saya juga gembira. Saya rasa begitu bertuah dan dihargai. Tidak pernah pula saya termimpi akan menjadi insan yang bertuah menerima buah tangan daripada dua insan hebat ini. Subhanallah! Teknik mendorong Nabi Muhammad yang menemukan kami. Saya merasakan Allah merestui dan redha atas usaha kami ini.
Pn Ainon dan Dr Wan saya sambut dengan diiringi oleh dua orang kuat Kelas Peralihan iatu Bean dan Sin. Beria-ia benar mereka mahu mengikut saya menyambut tetamu yang datang. Bean dan Sin membantu pula membawa buku-buku yang disumbangkan oleh Pn Ainon kepada sekolah itu. Selepas itu, Bean pula cuba berbuat baik dengan membawa beg Dr Wan. Pandai pula Bean mengambil hati Dr Wan. 
Banyak betul buku yang diberi! Saya ingatkan Dr Wan hendak menggunakan buku-buku sebagai bahan untuk menguji pelajar. Rupa-rupanya buku-buku itu adalah sumbangan kepada pihak sekolah. Kalau boleh melompat, sudah lama saya melompat apabila menerima sumbangan tersebut Terima kasih banyak-banyak Pn Ainon. Inilah bonus yang Allah berikan kepada saya teringat kisah semalam, tentang saya lelah dan saya penat- Allah mengetahuinya. Subhanallah!

Kembali kepada cerita saya, saya telah membawa Pn Ainon dan Dr Wan bertemu dengan PK Pentadbiran sebab pengetua tiada. PK pentadbiran begitu gembira dengan kedatanagn mereka berdua. Kemudian, saya tinggalkan mereka lantas masuk ke dalam kelas semula. Rupanya Cikgu Zul seronok masuk kelas Peralihan. Beliau kagum dengan kesopanan dan rasa hormat yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar saya kepadanya.
Selepas mengucapkan terima kasih, saya meminta Cikgu Zul untuk pergi ke bilik pengetua . Cikgu Zul juga bekas peserta Kursus Mendorong pelajar Corot. Beliau ditemu bual oleh Pn Ainon dan Dr Wan. Mereka mahu mengetahui impak penggunaan teknik Mendorong Nabi Muhammad dalam P&P. Entah apa yang dibualkan oleh mereka . Saya hanya bersama dengan mereka selepas kelas dengan pelajar Peralihan berakhir.
Bersemangat pula rakan guru saya itu bercerita kepada Pn Ainon dan Dr Wan. Kami bersama-sama memberi maklum balas atas aplikasi Teknik Mendorong Nabi Muhammad kepada pelajar-pelajar kami. Kebetulan Cikgu Zul juga mengajar kelas 5SV. Jadi, respon beliau juga menjadi bukti berkesannya teknik nabi yang digunakan.





Kami juga berkongsi cabaran dan dugaan yang dihadapi sewaktu cuba mengaplikasi teknik nabi tersebut. Pn Ainon sibuk juga membuat catatan (tindakan yang harus ditiru) manakala Dr Wan asyik dengan kameranya. Dalam hati, saya bertanya, “ Dr Wan ambil gambar atau ambil video? Kalau ambil video, janganlah ditontonkan kepada orang ramai. Cukuplah buat bukti kajian. Saya segan (malu) sungguh sebab saya bukan orang hebat.”
Mula-mulanya saya sangka Dr Wan mahu menemubual pelajar-pelajar 5PD tetapi kemudiannya, beliau memberitahu bahawa beliau dan Pn Ainon mahu berada dalam kelas sewaktu saya mengajar. Kebetulan pula waktu akhir memang waktu saya dengan pelajar kelas 5PD.
Pn Ainon dan Dr Wan mengikut saya masuk ke kelas 5PD pada waktu terakhir. Cikgu Zul dan kemudiannya diiringi oleh Cikgu Azman yang datang entah dari mana datangnya. Mereka bersama-sama saya berbual dengan Dr Wan dan Pn Ainon di tepi kelas 5PD (kami sampai awal di kelas dan cikgu lain belum keluar dari kelas 5PD)
Cikgu Azman memaklumkan kepada Pn Ainon dan Dr Wan bahawa pihak sekolah akan mengadakan LADAP berkaitan teknik Mendorong Nabi Muhammad ini dan yang diarahkan oleh pengetua sebagai penyampainya tentulah kami bertiga (yang menghadiri kursus tempohari). Gembiranya hati saya bukan kepalang apabila Dr Wan secara suka rela menawarkan diri untuk memberikan kursus berkaitan Mendorong Pelajar Corot kepada guru-guru sekolah saya. Bertuahnya sekolah!
Berbalik kepada cerita 5PD, saya dan Dr Wan yang masuk dahulu ke dalam kelas. Kalau tidak silap saya Pn Ainon masih berbual dengan Cikgu Zul dan Cikgu Azman ketika itu. Selepas ucap selamat dan bacaan doa barulah saya mulakan pengajaran. Alahai! Peringkat awal terasa begitu kekok. Mengajar pun jadi tidak betul. Terasa seperti mahu dipantau menjadi guru cemerlang sedangkan hakikatnya saya tidak akan mohon guru cemerlang sebab merasakan diri belum cemerlang. Budak-budak saya senyap semacam pula. Yang bertanya pun tidak berani bersuara kuat.
Namun, lantaran asyik memantau kerja pelajar dan menjawab pertanyaan pelajar-pelajar, saya sudah tidak ingat akan kehadiran Pn Ainon dan Dr Wan. Cuma yang saya ingat ialah apabila saya puji Mei Ting yang menjadi pelajar pertama yang berjaya mencari jawapan dan menyiapkan latihan yang diberi, pelajar-pelajar lain bertepuk tangan. Saya lihat Dr Wan dan Pn Ainon sama-sama bertepuk tangan. Dalam hati ada taman bunga lagi. Hehehe!
Saya menggunakan teknik Memuji Nabi Muhammad dalam memuji pelajar dan saya menggunakan prinsip memuji secara terbuka (semua pelajar dengar pujian tersebut) dan ternyata yang mendengar pujian juga terdorong sama untuk segera mencari jawapan dan mengangkat tangan apabila siap tugasan. Saya memuji pelajar bagi setiap peringkat kerja yang mereka buat.
Apabila Hj Shakir berjaya menulis jawapan bagi isi jawapan tema, saya ucapkan kata-kata positif kepadanya. Selepas itu, saya maklumkan kepada semua pelajar akan tindakan positif Hj Shakir. Saya mahu pelajar-pelajar lain tahu supaya bukan sahaja Hj Shakir tetapi mereka juga terdorong untuk menyiapkan tugasan dengan cepat dan pantas.
Saya juga mencatat nama-nama kumpulan yang berjaya menyiapkan tugasan di papan putih. Dengan cara ini, semua pelajar nampak nama kumpulan yang terlebih dahulu menyiapkan tugas. itu pun merupakan ganjaran sosial @sosial rewards yang saya berikan kepada pelajar.
Impak kepada pujian dan ganjaran sosial yang saya berikan kepada pelajar-pelajar, mereka berlumba-lumba menyiapkan tugasan. Malah, ada yang menyiapkan latihan lebih awal daripada masa yang diperuntukkan. Hebatnya, ada kumpulan pelajar sudah pun menyiapkan latihan yang sepatutnya dibuat pada hari isnin. Sepatutnya saya puji mereka dengan ayat bermula daripada perkataan, “Saya kagum...” kerana pelajar membuat sesuatu kebaikan tanpa saya suruh namun saya terlupa. Insyaallah, hari Isnin nanti , saya akan memuji mereka (iaitu kumpulan Gadis Osthi)
Pada akhir pelajar, saya minta Abang Chik membaca jawapannya hanya sekadar penegasan isi pelajaran. Setiap peringkat kerja pelajar sudah saya teliti dan hanya setelah yakin betul barulah mereka menyelesaikan tugasan. jadi, saya yakin pelajar tahu apa yang mereka pelajari hari ini.
Sebelum pelajar bersurai, saya sudahi dengan memuji kebaikan-kebaikan yang dilakukan oleh pelajar saya sepanjang P&P berjalan. Saya tidak ingat apa yang saya katakan (agaknya sebab ada nazir luar berada di belakang, lupa pula akan kata-kata tersebut) namun intipatinya ialah pujian atas akhlak yang baik yang mereka tunjukkan. Begitu juga usaha mereka belajar dan kemahuan mereka untuk belajar. Saya juga nyatakan impak pujian iaitu saya yakin bahawa andai mereka teruskan usaha mereka mereka akan lulus BM dalam SPM nanti (sepatutnya saya boleh tonton kebali video yang dimuatnaik oleh Dr Wan ke dalam akaun FB tetapi apabila saya tonton video itu saya tutup suara. Hehehe! Segan saya sebab suara saya kedengaran lain bebenor!)
Yang menggembirakan saya, apabila saya bertanya kepada pelajar , “Siapa yang yakin lulus SPM , terutama lulus BM?”,  semua pelajar saya mengangkat tangan.
Untuk maklumat, dalam kelas saya ada 7 kumpulan pelajar. 3 kumpulan terdiri daripada pelajar-pelajar yang Kritikal BM (1-15 markah). 2 kumpulan pelajar potensi lulus BM (yang gagal BM tetapi mendapat markah dalam 20-30lebih) dan 2 kumpulan pelajar yang sebaik lulus BM (markah dalam 40 lebih). Kelas 5PD ialah kelas kedua tercorot di sekolah saya.
p/s saya tidak berkesempatan merakam gambar-gambar mereka.

______________

Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!

0 comments:

Post a Comment