Thursday, February 23, 2012

Apabila pelajar sudah suka membaca

Saya sudah memilih buku-buku cerita tempohari yang sesuai untuk dipinjam dan dibaca oleh pelajar 5PD. Buku-buku itu saya pilih daripada 85 buah buku (bernilai dalam RM2 ribu) sumbangan Pn Ainon. Saya ambil dalam 30 buah untuk 5PD.
Seperti biasa, hari Jumaat merupakan hari Komsas/Novel. Pelajar-pelajar diberi tugasan untuk mencari persoalan bagi novel Kembara Amira. Sebagai insentif kepada pelajar-pelajar yang menyiapkan latihan lebih awal, saya beri peluang kepada mereka untuk memilih buku-buku cerita yang saya bawa.
Mulanya, saya hanya bercadang mahu membenarkan mereka membaca buku cerita sementara menunggu rakan-rakan lain menyiapkan tugasan, namun keadaan menjadi kecoh sebab pelajar-pelajar yang masih belum menyiapkan latihan turut berebut-rebut mahu memilih buku. Kumpulan gadis Cina iaitu Kumpulan M yang mula-mula merapati pelajar-pelajar yang sedang memilih buku cerita.
Akhirnya, saya benarkan mereka memilih buku dan kemudian meminta mereka sambung menyiapkan latihan. Alhamdulillah! Mereka mendengar kata. Sedang memantau pelajar-pelajar, timbul pula permintaan pelajar untuk meminjam buku-buku cerita untuk dibawa balik ke rumah. Lantaran memikirkan memang tidak cukup masa untuk pelajar-pelajar saya membaca buku cerita, saya terima cadangan tersebut. Saya minta pelajar-pelajar menulis nama buku cerita yang dipinjam oleh mereka.
Pada mulanya Torres tidak mahu meminjam buku cerita. Katanya, dia takut buku tersebut hilang dalam jagaannya. Saya bertanya, “Apa yang menyebabkan kamu tidak percaya kepada diri sendiri sedangkan saya mempercayai kamu.” Akhirnya Torres yang tidak minat buku cerita meminjam juga sebuah buku cerita.
Saya menyatakan kepada kelas 5PD betapa istimewanya mereka kerana buku-buku cerita yang baru dibawa ke kelas khas untuk mereka. Malah, mereka dibenarkan meminjam dan membawa balik buku-buku tersebut. Semua ini merupakan ganjaran kepada usaha yang ditunjukkan oleh mereka. Saya beritahu juga kepada mereka bahawa buku-buku itu sumbangan Pn Ainon.
Abang Long dan Prof berebut-rebut buku Gadis Piano. Saya tidak pasti faktor penyebabnya. Yang saya tahu Abang Long yang dapat meminjam buku cerita tersebut.
Yang saya nampak 2 buah buku tebal dipinjam oleh Miera (Dear Yayah)  dan Ah Kay (Aku Mahu). Ah Chiew dan Ah M meminjam buku berkaitan fotografi. Rupanya mereka minat fotografi.
Usha pula meminjam dua buku sebab dia tiada di sekolah selama seminggu kerana menjalani latihan merentas desa. 3 Mac 2012 dia bertanding peringkat Kebangsaan di negeri Kedah.
Pada hari itu, hanya dua orang pelajar yang tidak meminjam buku cerita yang saya bawa. Tidak pula saya tanya kenapa. Mungkin pada masa lain saya buku-buku yang lain. Mungkin ada yang menarik perhatian mereka.
Sebelum balik ke bilik (saya mengajar waktu akhir), Viky 5SV masuk ke dalam kelas dan meminta kebenaran untuk meminjam buku cerita. Saya benarkan dan dia memilih buku cerita daripada saki baki buku yang tinggal. Sebenarnya, Vicky mahu mencari buku cerita yang dibacanya semasa di kelas BM3 tetapi buku itu sudah dipinjam oleh pelajar 5PD
Keesokan harinya, apabila Tanis mendapat tahu akan kisah Vicky meminjam buku cerita daripada saya, dia juga bertanya sama ada dia juga boleh meminjam buku cerita daripada saya. Tentunya saya membenarkannya. Budak-budak sedang bersemangat mahu membaca , perlulah terus didorong.
Tadi, saya beri Frank memilih buku yang tinggal beberapa buah lagi. Dia tidak hadir pada jhari Jumaat. Dia tertarik dengan sebuah buku tetapi dia bertanya, “Cikgu, bukankah buku ini untuk perempuan?”
Saya jawab, “Buku ini siapa-siapa pun boleh baca. Kalau mahu, kamu boleh pinjam.” Akhirnya, Frank meminjam juga buku itu.
Saya amat gembira pelajar-pelajar saya mahu meminjam buku dan diharapkan mereka juga benar-benar membaca buku tersebut di rumah.



Ah Li (tidak habis-habis dengan isyarat 'peace' sedang menunggu giliran mencatat nama buku cerita yang mahu dipinjamnya. Ah Man pula menunggu sambil membaca. Ah Chiew sedang tekun mencatat nama buku cerita yang menjadi pilihan hatinya.

Abang Long menulis nama buku cerita dalam buku catatan saya. Pada awalnya dia tidak pasti mana satu buku cerita yang mahu dipinjamnya.Akhirnya dia memilih Gadis Piano.

Torres membaca kulit belakang buku cerita yang dipegangnya. Salah satu kriteria buku yang dipilih ialah blurb yang menarik yang ditulis di belakang buku.


Ketika ini, Hj Shakir tekun membaca buku cerita yang dipinjamnya. 

Prof, Dr Syawal,Bila, Arra dan Miera sudah tidak peduli kelas yang kecoh di hadapan meja guru kerana berebut buku cerita. Mereka kusyuk dengan buku masing-masing


Abang Long berkata, " Cikgu, buku Gadis Piano, saya tengok menarik. Mesti seronok membacanya."

Inilah kumpulan Gadis M, kumpulan pertama diambil gambar selepas membuat pemilihan buku yang hendak dipinjam.Selepas itu, kumpulan lain pun mahu diambil gambar bersama dengan buku cerita pilihan masing-masing. terkejut juga saya apabila saya melihat Ah kay memilih buku tebal Aku Mahu.

Ini kumpulan VMB. Sebenarnya Thinesh tidak meminjam buku cerita sekadar membelek-beleknya sebentar. 


Ini kumpulan Gadis Osthi. Sudah ada 5 orang kerana Mei Ting beralih arah dan meninggalkan kumpulannya.


Sewaktu saya mengambil gambar Kumpulan Rawa Pokek, Abang Chik tidak peduli kerana tekun membaca buku ceritanya.

Kumpulan Acaferra tersenyum gembira sambil menunjukkan buku-buku yang dipinjam mereka.



________________________
Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!


2 comments:

  1. Tersenyum lagi membaca posting ini. Terima kasih kerana menceriakan hari saya dengan posting ini. Hehe.

    Saya sentiasa percaya semua budak suka membaca, hanya buku yang sesuai dengannya tidak ada. ^__^

    ReplyDelete
  2. hebat!!!

    moga allah limpahkan cikgu dengan banyak lagi kejayaan di masa hadapan..dan moga pelajar-pelajar cikgu mampu jadi manusia yang mengepung dunia dengan kebaikan suatu hari nanti..aminnnn

    ReplyDelete