Pages

Sunday, January 8, 2012

Dua teknik Nabi Yang Berguna Semasa Memberi Taklimat

Dalam entri ini saya ingin berkongsi dua teknik NabiMuhammad yang dapat digunakan semasa memberi taklimat kepada pelajar-pelajar terutama oleh guru-guru yang tidak berapa pakar dalam hal-hal berucap di khalayak ramai seperti saya ini. Kalau saya yang kecut perut ini (walaupun di wajah nampak selamba) boleh melakukannya, pasti orang lain pun boleh.

Sebenarnya, saya masih belum dapat menghilangkan rasa syahdu ketika pergi ke sekolah. Masih teringat-ingat mesej yang saya baca padi tadi (Kalau belum baca dan ingat tahu ceritanya KLIK DI SINI). Tiada kata-kata lain yang terucap selain memuji Allah!

Subhanallah! Alhamdulillah! Allahuakhbar!

Taklimat Bidang Bahasa bermula pada jam 9.30 pagi. Saya agak berdebar-debar. Ini merupakan pertama saya menggunakan teknik soalan yang membuatkan ramai pelajar mengangkat tangan. Saya pula masih dipengaruhi oleh emosi dan masih terbayang-bayang mesej Jojo yang saya baca. Terasa seperti terlalu bagus untuk menjadi kenyataan @ too good to be true.

Walaupun begitu, saya berusaha juga  mereka-reka soalan yang saya rasa sesuai untuk ditanya pada pelajar-pelajar nanti namun saya tidak pasti bagaimana pula kata-kata yang berada dalam minda itu akan kedengaran apabila diucapkan. Saya juga belum pernah lagi menggunakan teknik memuji Nabi Muhammad kepada pelajar. Saya juga tidak mahu pula komunikasi nanti nampak kaku. Semua ini membuatkan saya menjadi kurang yakin namun saya kuatkan hati dan perasaan. Saya tahu Allah sentiasa bersama-sama saya.

Mukadimah taklimat saya amat mudah. Saya menggunakan teknik memuji Nabi Muhammad.
Kata saya, “Tahniah saya ucapkan kepada kamu. Kamu telah berusaha dengan gigih untuk belajar. Hasilnya, kamu berjaya lulus dalam PMR. Bukan itu sahaja, kamu juga telah mengharumkan nama sekolah kerana sekolah mendapat anugerah Lompatan Saujana Kuantiti PMR 2011. Tahniah sekali lagi.”

Saya memerhati wajah-wajah pelajar-pelajar di depan saya. Mereka masih diam ketika itu. Nampak seperti terkedu. Mungkin perasaan saya sahaja. Saya kira sebelum ini ramai guru yang memberi taklimat bidang masing-masing juga mengucapkan tahniah atas kejayaan pelajar namun saya yakin hanya saya yang menggunakan teknik memuji cara Nabi Muhammad (puji kebaikan tindakan dan nyatakan impaknya). Jadi, kemungkinan itu, wajah-wajah mereka seperti tidak percaya mendengar kata-kata saya.

Sambung saya, “ Berikanlah tepukan kepada diri sendiri.

Dengan kata-kata saya itu, barulah pelajar seperti tersedar. Kata-kata saya itu disambut dengan sorakan dan bunyi tepukan tangan oleh pelajar. Wajah-wajah yang hadir kelihatan ceria dan gembira. Berkesan juga teknik memuji nabi Muhammad ini.

Pelajar-pelajar ini , seawal saya memegang mikrofon sudah mulanya kelihatan tegang. Apa tidaknya, wajah  GK Bahasa sudahlah garang(mungkin sombong atau kata lembutnya kurang mesra pelajar) dan tiada senyuman (Sebenarnya wajah saya memang serius. Bukan sebab apa, hati sedang kecut.hehehe!) Sebaik-baik memegang sahaja mikrofon, terus pula cikgu yang seorang ini mengarahkan pelajar yang berkumpul di belakang dewan supaya membuat satu barisan tambahan. Memang dengan renungan sahaja pelajar sudah kecut dan tidak berani bising.

Hehehe!Janganlah pelik. Yang sayang kepada cikgu ini hanyalah pelajar-pelajar yang diajarnya. Pelajar-pelajar yang tidak diajar secara langsung memang tidak mengenali siapa diri cikgu ini yang sebenarnya. Tak kenal maka tak cinta. Cikgu ini pun sentiasa serius semasa perhimpunan dan hanya menegur pelajar yang melanggar peraturan dengan isyarat tangan sahaja. Itulah saya. Namun kalau pelajar-pelajar itu ialah pelajar-pelajar saya, mereka tahu dan kenal saya. Lazimnya, mereka akan tersengih-sengih (walaupun saya memandang mereka dengan pandangan yang tajam) apabila saya memeriksa barisan. Mungkin air muka saya itu yang menakutkan pelajar. Hehehe!Emmmmm.... memang perlu diubah. saya mahu pelajar hormat kepada saya bukan takut akan saya.

Tahun ini cadangnya saya ingin  berubah tetapi biasalah perubahan bukan boleh dilakukan secara mendadak. Dalam dewan, saya tidak mahu pelajar-pelajar diam kerana terpaksa atau takut. Saya mahu mereka mendengar dengan sepenuh perhatian tentang perkara yang saya sampaikan.

Sesungguhnya hanya ucapan Alhamdulillah yang dapat diberikan! Apabila saya mulai taklimat dengan memberi pujian menggunakan teknik Nabi Muhammad kepada pelajar-pelajar, wajah-wajah yang stres, kembali relaks namun memberikan perhatian.

Sebelum memulakan taklimat, iaitu selepas saya arahkan pelajar-pelajar buat barisan baru, saya cuba juga menggunakan teknik memuji nabi tetapi tidak sepenuhnya. Situasi berlaku secara spontan , saya sendiri kehilangan kata-kata. Maklumlah hati ini dup dap dup dap. Jadi, yang berlaku, saya hanya memuji kebaikan tanpa menyatakan impaknya.

Kata saya, “ Terima kasih. Kamu memang pelajar yang akur kepada arahan guru.”

Pelajar-pelajar tersebut pula nampak kehairanan. Memang jarang kali mendengar cikgu memuji tindakan pelajar yang mendengar arahan. Yang lazim, guru membuat teguran atau memberi nasihat kepada tindakan yang salah. Yang biasa mungkin ucapan terima kasih. Kalau ada pujian dibuat oleh guru-guru di sekolah saya, mungkin saya yang tidak perasan atau memang sebab saya tidak pernah sedar akan adanya teknik puji nabi Muhammad ini untuk menyedari penggunaannya atau  kalau ada yang menggunakannya, saya sendiri yang tidak tahu akan hal itu. Namun yang pasti, pelajar memang nampak sedikit terkejut sehingga ada yang menoleh sesama sendiri.

Jadi , hanya sesudah memulakan ucapan, barulah saya mengaplikasi teknik memuji Nabi Muhammad secara lengkap sebagaimana saya terangkan awal entri ini.

Ringkasnya, teknik memuji Nabi Muhammad yang saya gunakan:-
Prinsip memuji Nabi Muhammad - Puji satu kebaikan dan nyatakan impaknya:

1) Puji Kebaikan
Tahniah saya ucapkan kepada kamu.Kamu telah berusaha dengan gigih untuk belajar.

2) Nyatakan impak tindakan
Hasilnya, kamu berjaya lulus dalam PMR. Bukan itu sahaja, kamu juga telah mengharumkan nama sekolah kerana sekolah mendapat anugerah Lompatan Saujana Kuantiti PMR 2011.

Berbalik kepada cerita saya tadi, selepas pelajar-pelajar kembali tenang dan berhenti bertepuk tangan, saya menggunakan pula teknik memberi peluang semua pelajar angkat tangan. Saya belum pernah menerangkan tentang teknik ini dalam blog saya. Saya juga belum pernah berpeluang menggunakannya sehinggalah pada hari ini.

Teknik ini merupakan teknik nabi menggunakan banyak soalan yang membolehkan semua orang ada peluang untuk angkat tangan dan boleh menjawab soalan tersebut. Nabi menggunakan pertanyaan supaya semua orang berasa diri mereka pun berilmu@ pandai dan boleh berasa bangga terhadap diri sendiri. Hal ini tentunya menaikkan maruah mereka. Salah satu tujuan Nabi Muhammad bertanya adalah  untuk mendorong orang bukannya menguji seperti yang lazim saya sebagai guru lakukan iaitu menyoal untuk mengetahui tahap pemahaman pelajar terhadap pelajaran atau menguji ingatan pelajar terhadap topik yang dipelajari.

Oleh itu, guru bertanya soalan yang dapat memberi peluang pelajar-pelajar terlibat sama, misalnya:-
“Siapa bangun dan mandi pagi?”
Hal ini memberikan impak pelajar seronok untuk belajar. Soalan sebegini memberikan peluang pelajar merasakan dan mengatakan bahawa mereka pelajar yang baik.
Atau pun,
“ Siapa yang menolong ibu di rumah?”
Tentunya soalan ini mudah dijawab dan pelajar tidak perlu banyak berfikir untuk menjawabnya, malah ramai pelajar boleh dan berani mengangkat tangan tanpa perlu berasa takut jawapan mereka salah.

Sebenarnya, tujuan bertanya soalan-soalan berkaitan kebaikan yang dilakukan oleh seseorang adalah untuk menaikkan self-esteem atau meningkatkan maruah diri seseorang itu. Ada teori psikologi mengatakan bahawa ramai remaja yang terlibat dalam masalah jenayah kerana self-esteem mereka rendah. Oleh itu, salah satu cara mengubah tingkahlaku negatif ialah dengan melakukan perubahan pada self-esteem pelakunya. Teori ini ternyata menyokong teknik nabi Muhammad yang memberi peluang semua orang angkat tangan dengan menanyakan soalan-soalan tentang kebaikan yang dilakukan.

Hati saya berdebar-debar semasa ingin mengajukan soalan ini. Saya agak was-was. Tambahan lagi, saya tidak pasti, betulkah soalan yang saya bakal tanya ini. Tidakkah pelajar-pelajar berasa pelik?

Walaupun hati berasa bimbang akan impak soalan, yang mungkin negatif, saya teruskan juga mengaju pertanyaan itu kepada para pelajar yang dalam lingkungan 150 orang itu.
Pertanyaan yang sudah saya reka dalam fikiran dan telah saya catat semula di buku nota serta telah saya cuba berlatih mengucapkannya. Macam orang sedang kumat kamit membaca jampi serapah lagaknya. Hehehe!

Jadi, tanya saya kepada semua pelajar “Siapa dalam kalangan kamu yang mandi pagi sebelum pergi sekolah?”

Apabila kali pertama soalan diajukan hanya seorang dua yang angkat tangan. Yang lain tercengang-cengang. Masing-masing berpandangan. Reaksi mereka membuatkan saya tersenyum. Bukankah saya katakan awal-awal tadi, soalan saya mesti kedengaran pelik?

Dengan berprasangka positif bahawa sebenarnya pelajar-pelajar bimbang mereka tersalah dengar, (sebenarnya saya yakin ramai pelajar akan angkat tangan) jadi saya ulang lagi soalan saya. Kali ini , mereka lebih yakin dan majoriti pelajar-pelajar Tingkatan Empat yang berada dalam dewan mengangkat tangan biarpun daripada air muka mereka penuh dengan tanda tanya (Sayangnya saya tidak dapat merakam saat itu kerana ketika itu guru fotografi entah ke mana.)
Dewan jadi riuh rendah sekejap.

Pada fikiran pembaca, apakah agaknya yang saya katakan selepas itu. Lagilah pelik kalau saya suruh pelajar turunkan tangan dan kemudian terus kepada isi taklimat bidang bahasa. Agaknya, pelajar mungkin berkata, “ Cikgu ini betul ke tidak?” Jadi bagi menjawab tanda tanya pelajar-pelajar, saya telah pun memikirkan kata-kata yang perlu diucapkan seterusnya.

Sesungguhnya Allah sentiasa mempermudahkan urusan yang baik. Allah beri idea kepada saya untuk menggunakan teknik memuji nabi sebagai back up atau penyokong kepada tindakan saya bertanya soalan yang menyebabkan ramai pelajar angkat tangan.  

Untuk kali ketiga dalam dewan yang sama dan pada waktu yang sama, memberi pujian mengikut teknik memuji Nabi Muhammad.

Kata saya, “Bagus! Kamu adalah pelajar yang suka menjaga kebersihan diri. Apabila kamu menjaga kebersihan diri, kamu telah melakukan satu kebaikan kepada diri sendiri. Cikgu-cikgu pasti sayang kamu. Allah juga sayang kepada orang yang suka menjaga kebersihan. Kamu sudah dapat pahala apabila kamu mandi pagi.

Pelajar-pelajar kelihatan gembira. Dahi mereka tidak berkerut lagi kerana kehairanan. Malah ada yang tersenyum-senyum. Ada juga yang tersengih macam kerang busuk.

Apabila saya berkata lagi, “ Kamu telah melakukan satu kebaikan maka berikanlah  tepukan kepada diri kamu sendiri,” dewan menjadi riuh rendah kembali dengan suara para pelajar dan bunyi tepukan. Sesungguhnya saya telah berjaya mewujudkan suasana ceria dan gembira dalam dewan.

Ringkasnya, teknik memuji Nabi Muhammad yang saya gunakan:-
Prinsip memuji Nabi Muhammad - Puji satu kebaikan dan nyatakan impaknya:

i)Puji satu kebaikan
Kamu adalah pelajar yang suka menjaga kebersihan diri.

ii)Nyatakan impaknya
Apabila kamu menjaga kebersihan diri, kamu telah melakukan satu kebaikan kepada diri sendiri. Cikgu-cikgu pasti sayang kamu. Allah juga sayang kepada orang yang suka menjaga kebersihan. Kamu sudah dapat pahala apabila kamu mandi pagi

Seterusnya, apabila semua pelajar kembali tenang, saya berkata, “Saya suka dengan tindakan kamu menjaga kebersihan diri. Andai kamu menjaga kebersihan diri dan persekitaran kamu seperti persekitaran bilik darjah, kamu akan dapat belajar dalam keadaan selesa dan kamu juga boleh fokus kepada pelajaran, malah saya yakin akhirnya kamu pasti mampu  mencapai kejayaan dalam SPM tahun 2013 nanti.”

Dalam hal ini, teknik memuji Nabi Muhammad yang saya gunakan:-
Prinsip memuji Nabi Muhammad - Puji satu kebaikan dan nyatakan impaknya:

i)Puji satu kebaikan
Saya suka dengan tindakan kamu menjaga kebersihan diri.

ii)Nyatakan impaknya
Andai kamu menjaga kebersihan diri dan persekitaran kamu seperti persekitaran bilik darjah, kamu akan dapat belajar dalam keadaan selesa dan kamu juga boleh fokus kepada pelajaran, malah saya yakin akhirnya kamu pasti mampu  mencapai kejayaan dalam SPM tahun 2013 nanti.

Alhamdulillah! Selepas itu, para pelajar sudah kelihatan bersemangat dan bersedia untuk mendengar taklimat yang bakal saya berikan. Saya amat bersyukur kerana sepanjang taklimat saya tidak menghadapi masalah pelajar bercakap-cakap. Pelajar tekun mendengra taklimat. Suasana senyap di dalam dewan memudahkan saya menjalankan tanggungjawab saya.

Saya akhiri taklimat dengan memuji pelajar lagi. Saya juga telah mencatatkan di slide yang telah saya sediakan namun hanya boleh dilihat oleh pelajar-pelajar di barisan hadapan. Oleh itu, saya mengucapkannya kepada semua pelajar yang berada di dalam dewan.

Kata saya, “Kamu merupakan pelajar-pelajar yang gigih berusaha. Sekiranya kamu teruskan usaha kamu belajar dengan bersungguh-sungguh dan fokus kepada pelajaran, kamu pasti akan dapat mencapai kejayaan dalam SPM tahun 2013. Secara tidak langsung juga kamu akan dapat(sekali lagi) mengharumkan nama sekolah dengan meningkatnya GPS sekolah SPM 2013”

Slide akhir taklimat.

Prinsip memuji Nabi Muhammad - Puji satu kebaikan dan nyatakan impaknya:

i)Puji satu kebaikan
Kamu merupakan pelajar-pelajar yang gigih berusaha.

ii)Nyatakan impaknya
Sekiranya kamu teruskan usaha kamu belajar dengan bersungguh-sungguh dan fokus kepada pelajaran, kamu pasti akan dapat mencapai kejayaan dalam SPM tahun 2013. Secara tidak langsung juga kamu akan dapat(sekali lagi) mengharumkan nama sekolah dengan meningkatnya GPS sekolah SPM 2013

Kesimpulannya, teknik memuji cara Nabi Muhammad dan teknik soalan semua pelajar boleh mengangkat tangan menjadikan suasana semasa taklimat begitu hidup, ceria dan menenangkan. Pelajar-pelajar diberi peluang untuk menunjukkan eksperasi diri. Mereka dapat saya dorong untuk berasa hebat. Wajah mereka  gembira dan ceria ketika diberi pujian. Semasa taklimat pula, mereka diam dan memberi tumpuan terhadap perkara yang saya sampaikan. Sehinggakan pada penutup taklimat saya iaitu selepas saya memuji mereka, saya mengucapkan terima kasih, mereka masih diam dan kelihatan masih terpaku. Sedangkan sebelum ini, setiap kali penceramah atau penyampai ucapan mengakhiri ucapan (kekadang belum habis ucapan) mereka sudah bersorak dan menepuk tangan. Mereka menunjukkan kegembiraan kerana talkimat sudah tamat. Hal itu tidak berlaku kepada saya. Saya lihat mereka seolah-olah tidak percaya taklimat sudah selesai. tentunya sebaik sahaja keluar daripada dewan, saya tersenyum sampai ke telinga dan dalam hati ada taman. Hehehe!


Pelajar lelaki diletakkan di bahagian hadapan untuk mengelakkan mereka daripada bising semasa taklimat. Namun, sebelum saya memberi taklimat, saya lihat ramai pelajar yang berada di belakang tidak memberi tumpuan. Mungkin sebab suara cikgu perlahan kerana masalah mikrofon namun semasa saya memberi taklimat, mikrofon berfungsi dengan baik dan teknik nabi yang saya gunakan berkesan mendorong pelajar memberi perhatian terhadap taklimat yang diberi.


Gambar-gambar ini saya ambil selepas saya beri taklimat. Jurufoto sekolah saya entah ke mana semasa saya beri taklimat sedangkan saya sudah minta dia tolong tangkap gambar.

Saya ingin maklumkan di sini bahawa dialog-dialog yang saya tulis tidak dijamin 100% tepat sebagaimana  yang diucapkan. Mungkin ada perkataan yang tertinggal atau tertambah.
Namun, yang pasti isi kandungan utamanya tidak berubah. Bagi mengatasi ralat sebegini, saya sudah berkira-kira mahu membeli alat perakam suara. Bolehlah dengar berulang kali dan boleh mencatat kata-kata yang diucapkan dengan 100% tepat. :)

Cuma terfikir, sanggupkah saya mendengar suara sendiri? Hehehe! (Saya banyak tersengih ketika menulis entri ini.) Pengalaman yang berharga dan pengalaman yang membahagiakan. Seperti yang saya post dalam akaun FB saya,

Sesungguhnya Allah telah mempermudahkan saya. Alhamdulillah!Segalanya berjalan lancar. Rasa cinta kepada Rasulullah bertambah-tambah.




____________________________

Sesungguhnya yang baik dan indah datangnya daripada Allah dan yang buruk dan jelek itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Ya Allah! Jadikanlah setiap perkataan yang kutulis membawa pahala kepadaku dan kepada sesiapa juga yang membacanya. Ampunilah aku andai aku tersilap dan tersalah. Amin!

8 comments:

  1. Assalamualaikum Puan yang baik hati,

    Saya juga tersenyum ketika membaca entry ini dan juga ada elemen adventure dalam setiap tulisan puan....mahu tahu ending. Alhamdulillah kecekapan puan memilih apa yang boleh dipuji dan kaitkan dengan kebaikan melakukan perkara tersebut berkesan kepada pelajar....bijak...bijak :-)

    ReplyDelete
  2. :) Terima kasih Dr Wan. Cerita 5PD lagi membuat saya tersenyum.Masuk ke kelas 5PD memang sesuatu yang dinanti-nanti

    ReplyDelete
  3. Kali ini puan menulis laporan menggunakan gaya lebih kreatif. Saya seperti membaca sebuah cerpen pula....

    Puan juga melaporkan dengan detail:

    1. Perubahan emosi puan sepanjang eksperimen

    2. Dialog internal yang berlaku dalam diri puan

    3. Tingkah laku sebelum puan jalankan eksperimen, semasa eksperimen berlangsung, dan selepas eksperimen tamat.

    Laporan puan ini persuasif. Sesiapa yang membacanya akan terpengaruh.

    Bagus sekali.

    ReplyDelete
  4. salam Puan yg dikasihi Allah- Allah hu Allah....sgt menarik insya Allah tips yg sgt berguna kpd ibubapa spt kami ...terus kan menulis...perkongsian sgt bagus...semoga puan senantiasa dlm pengjagaan serta peliharaan Allah s.w.t.

    ReplyDelete
  5. Pn Ainon, terima kasih atas komen yang begitu terperinci. Komen puan dapat saya jadi panduan semasa menulis.

    Pn Lina, Terima kasih kerana sudi membaca tulisan saya. Sekadar berkongsi ilmu. Yang baik dijadikan teladan yang buruk dijadikan sempadan. Terima kasih juga atas doa tersebut.Saya juga mohon agar Allah turut mempermudahkan puan dalam mengikut sunnah Nabi Muhammad.

    ReplyDelete
  6. Kak Khairul Aniza,
    Saya teruja membaca pengalaman kakak ini. Wah, blog ini sudah mendorong saya untuk lebih positif dalam mendidik anak-anak dalam kelompok usrah.

    Teknik dan prihatin seorang guru (insya Allah, ikhlas) pasti berbekas dan mampu menjadikan anak-anak didik akak manusia yang bermanfaat.

    Teruskan berkongsi kak dan saya akan terus berusaha membaca.

    Terima kasih!

    ReplyDelete
  7. assalamalaikum,
    syukur alhamdulillah. terima kasih banyak-banyak cikgu. dalam kekalutan mencari teknik yang terbaik utk memberi taklimat, saya google akhir menemui blog cikgu ini. membaca tajuknya DUA TEKNIK NABI YANG BERGUNA SEMASA MEMBERI TAKLIMAT, saya merasa lega sangat. inilah yang saya cari. saya jadi mengetuk kepala sendiri, kenapa selama ini saya tidak terfikir tentang teknik yang digunakan NABI padahal saya sedang menulis buku yang cuba menonjolkan cara hidup Islam. terima kasih cikgu! blog cikgu seakan menyelamatkan saya daripada hanyut dalam mereka tekik yang bukan-bukan.
    oh ya, buat maklumat cikgu... saya ni baru mahu menjadi penulis.sinopsis saya sudah diluluskan jadi saya dalam proses menyiapkan manuskrip. cerita berkisarkan pelajar tingkatan 4 yang berusaha mencapai cita2nya. saya memulakan cerita dengan penyampaian taklimat kepada pelajar. impaknya perlulah bagus jadi...saya nak mohon keizinan menggunakan teknik & mungkin soalan yang sama utk penulisan saya. boleh kah?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cikpuan NdeeA, gembira mendapat maklum balas positif daripada cikpuan. Saya doakan cikpuan dapat menghasilkan penulisan yang bermanfaat kepada insan lain.

      Sekiranya , cikpua menggunakan soalan yang sama dan kata-kata yang sama dalam blog saya, adalah lebih baik di dalam prakata (penulis) atau di mana-mana bahagian yang boleh, cikpuan nyatakan sumbernya atau pun setidak-tidaknya kongsikan sedikit sebanyak maklumat tentang teknik nabi supaya orang lain tahu dan dapat mempraktikkannya.

      Delete